24 June 2018

TOLAK SEMUA TAWARAN - ACHEY MAHU BANTU ISTERI URUS TIARA


"Ketika ini saya terpaksa menolak tawaran bekerja kerana mahu membantu isteri menguruskan Tiara. Insya-Allah, apabila dia sudah berusia 50 hari dan semakin kuat, saya akan kembali bekerja seperti biasa.





"Sambutan hari raya kali ini juga sangat berbeza bagi kami. Saya sentiasa berada di rumah kerana enggan menerima sebarang undangan atau peluang kerja.

"Keutamaan diberikan sepenuhnya buat Tiara yang masih kecil," kata pelawak Achey sambil memaklumkan, buat waktu ini mereka tidak merancang untuk menggunakan khidmat pembantu rumah.

Achey menolak semua undangan persembahan pada musim raya tahun ini bagi membantu isterinya, Nor Hasanah Yahaya, menjaga anak angkat mereka yang masih kecil.

Katanya, dia tidak mahu membiarkan isterinya keseorangan dalam menguruskan bayi perempuan diberi nama Nur Tiara Zinnirah Nasir, yang belum pun mencecah usia 40 hari.

Klik untuk gambar besar


Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 32, turut berkata kedatangan Syawal tahun ini memberi seribu makna buat keluarga kecilnya.

"Alhamdulillah, rezeki datang tanpa diduga. Saya membuat keputusan untuk mengambil anak angkat apabila mendapat panggilan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Proses pengambilannya secara rasmi juga berjalan dengan lancar," katanya yang menerima kehadiran permata hati itu pada 22 Mei lalu.

Pelawak terbabit membuat pengumuman mengenai kehadiran bayi perempuan berkenaan dalam hidup mereka menerusi Instagram, 13 Jun lalu.



Beliau menyifatkan kehadiran Tiara sejak 6 Ramadan lalu sebagai mengisi kekosongan sepanjang tempoh mereka berusaha mendapatkan cahaya mata.

Dalam pada itu, Achey menjelaskan, Nor Hasanah jarang bersamanya sejak awal Ramadan kerana isterinya berada di kampung bagi menjaga Tiara.

"Ramai juga yang bertanya, ke mana isteri saya pergi sebelum ini kerana selalunya dia sering mengikut saya ke majlis atau acara hiburan. Tetapi, sebelum itu saya terpaksa mengunci mulut kerana belum boleh berkongsi dengan umum.

"Terima kasih kepada peminat dan rakan yang mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga," kata Achey yang sudah lapan tahun bergelar suami.

Selain itu, Achey turut membuka akaun Instagram rasmi untuk puteri mereka di bawah nama @tiara_zinnirahofficial, dengan gambar pertama dimuat naik pada 13 Jun.










www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: