17 July 2018

HUBUNGAN DENGAN SHAHIR - ERRA TAK BERDOLAK-DALIK


"Jujur kami belum ada rancangan berkahwin. Saya berjanji kalau ada langkah seterusnya dengan dia, pasti akan diberitahu.





"Tapi andai belum lagi keluar daripada mulut saya mahupun Shahir, semua itu bersifat spekulasi. Kalau ada jodoh dengan dia, Alhamdulillah.

"Kalau sebaliknya, saya reda... Doakan yang terbaik," kata pelakon Erra Fazira yang menegaskan dirinya bukan hendak berdolak-dalik dalam soal hubungannya dengan penyanyi Shahir Zawawi.

Baru-baru ini, video berdurasi 16 minit yang dikongsi Erra bersama bekas juara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) di laman sosial, gagal memberi jawapan pasti arah hubungan mereka.

Dilihat sekadar entri 'nakal' bertujuan menarik perhatian, baik Erra mahupun Shahir masing-masing tidak memberi jawapan pasti apakah hubungan mereka akan berakhir di jinjang pelamin.

Klik untuk gambar besar


Tampil berdua melalui aplikasi Instagram (IG) Live pada jam 9.18 malam, Erra dan Shahir yang ketika itu dipercayai sedang menikmati makan malam, meluahkan perasaan masing-masing berhubung gosip bercinta.

Erra menambah, dalam setiap hubungan romantis dirinya sentiasa serius dan mahukan kesudahan yang baik.

"Saya pun bukan muda lagi. Saya memang tak pernah menafikan berkawan dengan Shahir sejak lebih tiga tahun lalu," luahnya.

Ditanya sejauh mana hubungan antaranya dengan Shahir dan mengapa kelihatan seperti bermain tarik tali, Erra menjelaskan Shahir berniat mengahwininya tetapi belum sampai ke tahap bertemu keluarga untuk berbincang.



"Sebagai perempuan saya tak boleh berlebihan dalam hal ini. Bukan nak sorok atau main tarik tali. Memang tiada majlis merisik atau bertunang seperti yang didakwa sebelum ini. Shahir pun belum bertemu keluarga saya.

"Ramai yang salah anggap seperti saya ini hendak berahsia. Masalahnya jika saya seorang yang cakap lebih-lebih tidak manis, biarlah dia yang bercakap.

"Satu perkara lagi, saya bukan budak muda remaja yang perlu mengumumkan kepada orang ramai yang kami sedang bercinta.

"Biarlah ia berjalan mengikut percaturan yang Allah rancang. Tidak semua manusia dilahirkan sempurna. Bagaimanapun, saya selesa bersama Shahir kerana banyak ilmu yang saya tidak tahu, namun dia tahu dan ajar saya," jelasnya.



Sementara itu, Shahir memohon peminat terus berdoa agar hubungannya dengan Erra berakhir dengan penamat indah.

"Apabila keluar cerita saya dan keluarga datang beraya ke rumah Erra, ada pula yang anggap ada majlis lain membabitkan kami.

"Doa baik-baik untuk saya dan Erra. Saya belum tahu bila kami akan bernikah...Kalau Allah percepatkan itu baik," tuturnya.

Bagaimanapun, semakan mendapati video itu tidak boleh lagi ditonton pengikut Erra selepas dipercayai dipadam.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: