16 August 2018

7 TAHUN TIADA ANAK - MIZZ NINA TAK PUTUS ASA, BERSYUKUR


Selepas tujuh tahun berkahwin dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, 33, pengacara dan aktivis kemanusiaan Mizz Nina, 38, mengakui dia tidak pernah berputus asa mendapatkan cahaya mata.





Menurut pemilik nama sebenar, Shazrina Azman, 38, dia dan suami pernah mencuba kaedah rawatan moden iaitu teknik persenyawaan In-Vitro (IVF) dan pernah berkongsi mengenainya dalam blog sebelum ini.

Tidak pernah menganggap ketiadaan cahaya mata sebagai suatu kekurangan, Mizz Nina berkata, dia sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberi Allah.

"Kalau ada rezeki, Allah nak bagi saya anak, Alhamdulillah. Kalau Allah tak bagi pun, saya tetap bersyukur... Ini bermakna, saya ada tugas berbeza.

Klik untuk gambar besar


"Mungkin Allah tak bagi saya anak sekarang supaya saya boleh fokus pada aktiviti kemanusiaan dan pengajian saya dalam bidang al-Quran.

"Pucuk pangkalnya, kita harus berfikiran positif dan bersyukur dengan semua yang Allah kurniakan,' ujar Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman.

Belajar tidak lagi sensitif setiap kali ditanya soal zuriat, Mizz Nina menganggap kejayaan dalam hidup bukanlah semata-mata bersandarkan kepada faktor diri sudah berkahwin atau memiliki anak.

"Bagi saya, kalau nak bercakap mengenai sukses dalam hidup, tidak hanya dikaitkan dengan mempunyai anak mahupun ada suami atau isteri.



"Sukses dalam hidup bagi saya adalah akhirat. Apa yang dikira untuk ke syurga adalah perbuatan baik kita. Tiada gerenti apabila saya mempunyai suami atau anak, saya akan ke syurga," katanya yang tidak pernah berputus harap dan berusaha menimang cahaya mata.

Tidak menafikan sebelum ini dirinya agak sensitif tatkala diaju soal anak, Mizz Nina berkata, dia belajar untuk menerima semua itu secara positif.

"Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia dan saya bersyukur dengan kehidupan dikecapi ketika ini. Cuma saya dan suami belum ada rezeki lagi mendapat cahaya mata.

"Suami dan ahli keluarga memahami. Mereka tidak pernah mendesak dalam soal cahaya mata," tuturnya yang akan berangkat ke Turki bersama suaminya pada 26 Ogos bagi menyertai misi kemanusiaan sempena Aidiladha.










www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: