18 August 2018

AL-FATIHAH - AZREEN MANAN KEMBALI KE RAHMATULLAH


Takziah kami ucapkan kepada keluarga penyanyi era 90-an, Azreen Manan yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 41 tahun hari ini, setelah dua tahun menderita kanser serviks.





Suaminya yang dikenali sebagai Shah ketika dihubungi memberitahu, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 1.06 petang di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya. Katanya, arwah menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang di sisi keluarga dan sahabat terdekatnya.

Dalam pada itu, Shah berkata, Allahyarham isterinya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur selepas solat Asar. Ketika ini, jenazah masih berada di IKN untuk urusan pengebumian.

Berita pemergian Azreen turut dikongsi beberapa teman artis seperti Umie Aida, Erra Fazira, Zarina Zainuddin dan Nourul Depp.

Klik untuk gambar besar


Terdahulu, media melaporkan Azreen berada dalam keadaan kritikal selepas kesihatannya merosot sejak dua minggu lalu sebelum dirujuk kembali ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Azreen dilaporkan menghidapi kanser tersebut sejak dua tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan membuang ovari. Selain itu, Azreen berhadapan masalah komplikasi buah pinggang dan usus tersumbat.

Bagaimanapun, penyakit tersebut kembali menyerang pada awal tahun lalu selepas dia mengadu sakit pada bahagian kaki. Dia menjalani pembedahan kedua pada Mac lalu.



Untuk rekod, pada zaman popularnya Azreen pernah menggejutkan dunia hiburan apabila dia memilih untuk berkahwin dengan adinda Sultan Pahang iaitu Datuk Seri Tengku Kamaruzzaman Sultan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Tengku Intan pada tahun 1993. Ketika itu Azreen baru berusia 16 tahun.

Album pertamanya dihasilkan pada tahun 1989 ketika berusia 12 tahun. Antara karya yang menaikkan namanya ialah menerusi lagu Semalam Yang Berlalu.

Azreen pernah mendapat tempat ketiga semasa mewakili Malaysia dalam pertandingan Asia Bagus pada tahun 1992 di Jepun yang mana dalam acara itu, Indonesia, diwakili Krisdayanti mendapat tempat pertama. Antara filem lakonannya ialah Azizah The Lagend (1993).

Hasil perkahwinan Azreen dengan Tengku Intan, mereka mendapat sepasang anak yang kini berusia 24 tahun dan 21 tahun. Selepas berpisah dengan Tengku Intan, Azreen berkahwin dengan Shah pada 2011. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.




www.myartis.com / Sumber: mStar, Berita Harian & Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: