04 August 2018

AL-FATIHAH - NORMA ALANG MENINGGAL, SELAMAT DIKEBUMIKAN


Takziah kami ucapkan kepada keluarga penyanyi era 70-an, Norma Alang, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 73 tahun berikutan kegagalan fungsi organ di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 7.50 malam kelmarin.





Anak keduanya, Ahmad Rashdan Ghiathuddin, 47, berkata, Allahyarham yang mempunyai masalah jantung, buah pinggang dan darah tinggi dimasukkan ke hospital terbabit sejak awal bulan lalu disebabkan komplikasi penyakit dihidapi.

"Emak kami dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama seminggu dan kemudian dimasukkan ke wad biasa hinggalah semalam apabila keadaan kesihatannya semakin menurun.

"Arwah mula tak sedar, tetapi doktor maklumkan dia boleh mendengar dan faham apa yang kami bualkan dengannya. Sebelum ini emak memang menghidap kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung sejak lima tahun lalu.

"Walaupun kurang sihat dan selalu keluar masuk hospital, semangatnya tetap kuat. Allah lebih sayangkannya," katanya kepada BH Online.

Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata berhampiran kediamannya di Gombak, Selangor, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Allahyarham yang berasal dari Langkap, Perak, meninggalkan tiga anak dan sembilan cucu.

Ketika zaman mudanya, Norma atau nama sebenarnya Darmah memulakan langkah di arena seni suara sebagai penyanyi sebuah kumpulan orkestra pada usia 18 tahun.

Pernah bernaung di bawah Life Record dan tampil di dalam album kompilasi bersama beberapa penyanyi seangkatan lain, beliau juga pernah menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Seniman sekitar awal 2000.

Antara lagu yang menaikkan namanya adalah Melati Puteh selain lagu rakyat berjudul Kalau Ke Taiping.

Beliau turut melebarkan bakat sebagai pelakon bermula awal era 1980-an menerusi drama terutama di bawah syarikat milik Allahyarham Rosnah Mohd Noor, RMN Productions. Selain itu, Norma turut meminjamkan suaranya bagi drama Jepun, Oshin.

Antara lakonannya yang diingati adalah menerusi drama bersiri Siti Zulaika siaran musim Ramadan beberapa tahun lalu yang turut membariskan Datuk Jalaluddin Hassan dan Norlida Ahmad.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: