07 August 2018

ANAK MOHON DOAKAN MAT SENTOL CEPAT SIHAT


Anak kedua kepada pelakon veteran Abd Rashid Yahaya, 85, atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol, Roslee Rashid, 56, itu berkata keluarganya tidak putus-putus menerima pertanyaan daripada pelbagai pihak selepas gambar ayahnya disebarkan dalam media sosial.





"Pak Mat kurang sihat dan kami sekeluarga nak kasi (beri) dia rehat. Doakan dia cepat sihat. Mungkin berlaku kekeliruan apabila pihak berkenaan memuat naik berita bapa kami dimasukkan ke hospital tetapi tidak menutup ceritanya selepas dia keluar hospital.

"Memang ramai bertanya keadaan ayah, bukan saja ahli keluarga tetapi orang ramai yang ingin mengetahui keadaan kesihatan bapa termasuk aplikasi WhatsApp," kata Roslee ketika dihubungi bagi mengulas mengenai tahap kesihatan bapanya itu.

Tambahnya lagi, ayahnya dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 30 Julai lalu selepas mengalami gejala deman dan badan menggigil.

"Kalau lihat dari segi zahirnya, dia nampak sihat tetapi dalam usianya yang semakin tua, keadaan kesihatannya sekejap baik sekejap datang kembali masalah.

"Sebagai contoh, selepas keluar dari hospital 2 Ogos lalu, keadaan kesihatannya bertambah baik dan boleh berjalan untuk tempoh tiga hari, tetapi hari ini dia mengalami demam panas," jelasnya.

Dia yang duduk di kediaman bapanya di Larkin Jaya bersama ibunya, Jamilah Kasri, 69, dan adik lelakinya Roswan Abd Rashid, 35, menjaga rapi kesihatan bapanya itu.

Klik untuk gambar besar


Roslee memberitahu yang bapanya seorang yang sihat, malah sering berjalan termasuk bertemu rakan di Larkin Plaza, selain mendapatkan ubat vitamin dari Klinik Kesihatan Larkin.

"Secara normalnya, kalau ikutkan sejarah, betul-betul dia sakit hingga dimasukkan ke wad memang tidak ada, melainkan ketika usia muda dia pernah dimasukkan ke hospital akibat kemalangan," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kerjaya seni bapanya itu, katanya, warga emas berkenaan pernah dipanggil sebagai penasihat oleh Universiti Multimedia Johor tahun lalu.

"Dia dipanggil beri ceramah tempoh dua tahun, selain turut membuat skrip, cerita ringkas dan lakaran iklan mengambil kira kepakaran kreatifnya dalam bidang itu," tuturnya.

Katanya, berbanding teknologi kesan imej janaan komputer (CGI) menggunakan komputer ketika ini, bapanya mempunyai kepakaran itu dengan hanya menggunakan filem bagi mendapat kesan CGI secara manual.

"Dia memang pandai menggunakan CGI secara manual dan kepakarannya sangat mengagumkan ramai pihak, biarpun kami lima beradik lelaki tidak terbabit dalam dunia lakonan tetapi mempunyai bakat seni dari segi pengarah, grafik, CGI dan pemuzik.

"Kami mengambil kata perangsang darinya, dalam seni perlu jujur dan jangan buat benda untuk makan duit orang. Pesannya buat sesuatu dengan benar demi supaya manfaatnya diperoleh generasi masa depan, selain bakat seni itu datang semulajadi dan bukan dibuat-buat," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: