27 August 2018

BIG STAGE: FAIZAL TAHIR RALAT TERSALAH GUNA IMUNITI


Konsert minggu ke-4 Big Stage menyaksikan Sissy Imann diumumkan sebagai peserta yang seterusnya tersingkir pada malam Ahad itu.





Juri tetap program Big Stage yang juga penyanyi Faizal Tahir mengakui melakukan kesilapan apabila tidak menggunakan kuasa imuniti bagi menyelamatkan Sissy daripada tersingkir pada pertandingan tersebut.

Faizal berkata, dia sebenarnya keliru dengan dengan konsep imuniti itu sehingga tersalah membuat pilihan dan mengambil tanggungjawab atas penyingkiran Sissy.

"Saya fikir jika saya selamatkan salah seorang daripada mereka maknanya tidak akan ada penyingkiran tetapi percaturan itu salah.

"Memang saya berasa ralat tidak selamatkan Sissy... Saya harus dipersalahkan dan mengambil tanggungjawab atas penyingkirannya," katanya.

Klik untuk gambar besar


Pada program yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, Faizal menggunakan imuniti tersebut bagi menyelamatkan Arif Bahran yang menyanyikan lagu Deen Assalam.

Selain Arif dan Sissy, Tajul turut berada di kedudukan tiga peserta mendapat markah terendah daripada juri profesional.

Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza turut bertindak sebagai juri tetap manakala Mas Idayu sebagai juri jemputan.

Dalam pada itu, Faizal berkata, kesemua lapan peserta yang bertanding pada malam itu sebenarnya layak mara ke minggu seterusnya atas peningkatan positif dalam persembahan mereka berbanding sebelum ini.



Bagaimanapun kata Faizal, jika berdasarkan persembahan minggu ke-4, Sissy menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan.

Sementara itu, Sissy ketika ditemui tanpa berselindung memberitahu berharap agar namanya disebut untuk diselamatkan namun menganggap perjuangannya dalam Big Stage hanya sampai setakat ini.

Kata Sissy, walaupun berasa sedih namun menganggap apa dilakukan juri itu adalah adil dan ia percaturan yang harus diterimanya.

"Saya ralat bukan apa tapi sudah masuk minggu keempat jadi saya sudah buat banyak persediaan untuk minggu seterusnya.

"Inilah adat bertanding... sedih tetapi saya terima dengan hati terbuka dan ini bukan pengakhiran daripada saya," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: