23 August 2018
DIHEMPAP MOTOSIKAL 300KG - LIGAMEN FARAH ASYIKIN KOYAK
"Sebenarnya saya cuba mengalihkan motosikal berkuasa tinggi milik suami seberat 300kg untuk memberi ruang kepada tanaman baru dibeli. Malangnya, saya pula dihempap.
"Saya menyelamatkan motosikal itu daripada terhempas tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri. Alhamdulillah tiada sebarang kerosakan pada motosikal itu sebaliknya saya pula cedera. Kedengaran bunyi seperti 'retak' sewaktu saya menarik kaki kiri daripada motosikal itu.
"Saya menangis meminta tolong anak saya Owais yang sedang duduk di depan rumah," demikian kata penyanyi Farah Asyikin, 38, yang mengalami kecederaan di kaki kirinya selepas dihempap oleh motosikal berkuasa tinggi seberat 300 kilogram (kg) milik suaminya.
Bekas bintang Gegar Gema Vaganza musim kedua 2 (GGGV) itu berkata kecederaan itu menyebabkan ligamen sebelah kaki kirinya koyak.
Farah yang berkongsi cerita insiden yang berlaku kepada kakinya di akaun Instagram (IG) miliknya itu memberitahu, setelah ke hospital membuat pemeriksaan imbasan x-ray, dia baru mengetahui mempunyai kecederaan lama pada kaki kirinya.
Klik untuk gambar besar
"Kecederaan mengakibatkan satu ligamen koyak manakala satu lagi hampir terkoyak. Rupanya, kaki kiri saya juga ada kecederaan lama iaitu tulang retak.
"Saya mendapat kecederaan itu selepas terjatuh empat tahun lalu akibat terjatuh daripada tangga. Saya tidak pergi ke hospital pun ketika itu," beritahunya.
Penyanyi 'Kembali Lagi Di Sisimu' itu bagaimanapun bersyukur kecederaannya tidak seteruk mana dan keluarganya setia di sisi menjaganya.
"Alhamdulillah, cuma ligamen terkoyak saja dan bukannya patah atau retak. Terima kasih buat suami yang membawa saya ke hospital dan pihak hospital atas jagaan rapi terhadap saya," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment