15 August 2018

"IA BUKAN NYANYIAN MENDERA VOKAL" - SALEEM


Penyanyi Saleem atau nama sebenarnya A M Salim Abdul Majeed, 56, membuktikan usia bukan halangan apabila berjaya menghiburkan lebih 500 peminat.





Kemampuan Saleem beraksi di atas pentas tidak perlu dipertikai lagi apabila dia tampil cemerlang dalam Showcase Saleem Raja Balada - Syokkk Ooo yang berlangsung di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 20 April lalu.

Tidak menghairankan apabila nama penyanyi lagu popular 'Suci Dalam Debu' ini kembali jadi rebutan penganjur dan terbaru Saleem dilamar mengadakan persembahan berjudul 'Saleem Live In KL' yang berlangsung di House, G Tower pada 9 September ini.

Bukan calang-calang kerana vokalnya akan diuji dengan menyampaikan 20 lagu yang memerlukan lebih tenaga daripada biasa di lokasi yang boleh memuatkan hampir 1,000 penonton.

Klik untuk gambar besar


"Selepas MaTic, banyak pihak menyuarakan hasrat untuk mengundang saya menjayakan persembahan, tetapi kena pilih yang terbaik.

"Untuk Saleem Live In KL, saya kena menyampaikan banyak lagu, tapi ia bukan masalah. Sebagai penyanyi saya kena bijak ‘transform’ bagaimana untuk membawakan koleksi lagu itu agar peminat puas hati.

"Lagipun, persembahan saya tetap sama iaitu menggunakan tema santai dan mahu menyanyi bersama penonton. Jadi, saya perlu ubah suai lagu itu agar mereka boleh sama-sama menyanyikannya.

"Ia bukan nyanyian yang boleh mendera vokal saya dan perkara ini boleh dibincangkan dengan pemuzik pengiring nanti," katanya.



Dalam pada itu, sebagai penyanyi Iklim, dia tetap menyimpan impian untuk tampil bersama kawan lamanya di atas pentas.

"Buat masa ini saya akan fokus persembahan solo, tetapi untuk Iklim saya ada berita gembira kerana akan tampil bersama mereka pada November depan.

"Ia akan bermula dengan persembahan istimewa di Johor Bahru sebelum kami beraksi di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

"Hanya Umarul (pemain gitar utama) yang sudah tahu perkara ini dan saya pasti anggota asal Iklim akan bersetuju sekiranya diajak," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: