28 August 2018

KETINGGALAN ZAMAN - MARK ADAM BUKA IG UNTUK MAN BAI


Dek kerana merasakan ia tidak memberi kepentingan kepada kerjayanya, penyanyi yang terkenal menerusi lagu 'Kau Ilhamku', Man Bai tidak pernah terfikir untuk memiliki akaun media sosial seperti Facebook ataupun Instagram.





Bagaimanapun kata pemilik nama sebenar Abdul Rahman Osman, 51, perkara itu berubah selepas dia bertemu Mark Adam di sebuah persembahan pentas di Johor sekitar dua tahun lalu dan penyanyi itu mengatakan dia ketinggalan zaman.

"Jujurnya saya memang tak reti media sosial ini semua dan tidak rasa ia membawa kebaikkan pun tambahan pula tiada apa yang ingin saya kongsikan.

"Ketika bertemu dengan Mark, dia cakap saya ketinggalan zaman kerana tiada Instagram dan dia terus ambil telefon saya dan membuka akaun Instagram untuk saya.

"Kebetulan ketika itu Jihan Muse turut ada bersama dan kami ambil gambar bertiga dan itu adalah gambar pertama saya di Instagram yang dimuat naik oleh Mark," katanya.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Man Bai berkata, sejak mempunyai Instagram dia semakin aktif dan mula berkongsi mengenai perkembangan terkini dengan pengikutnya.

Pun begitu katanya, dia lebih gemar berkongsi perkara berkaitan kerjaya berbanding kehidupan peribadinya di laman sosial itu.

"Mula-mula rasa susah tapi lama-lama seronok pula ada Instagram kerana ada juga manfaatnya kalau digunakan dengan betul.

"Melalui platform ini boleh berkongsi perkembangan terbaharu dengan peminat namun saya lebih selesa tidak memuat naik gambar berkaitan peribadi.



"Sesekali ada juga 'selfie' sebelum tidur dan letak di Instagram sampai ada kawan tegur," katanya yang menggunakan nama @manbai67.

Dalam perkembangan lain, Man Bai berkata, dia sudah menyiapkan single terbaharunya berjudul 'Saling Mengerti' namun masih belum bersedia untuk melancarkannya.

Ini kerana katanya, dia masih belum berpuas hati dengan vokalnya untuk lagu itu dan ingin merakamkannya semula.

Untuk info, Man Bai yang kali terakhir muncul dengan album berjudul Inspirasi pada 2011 itu pernah menghasilkan dua buah album lain iaitu Man Bai pada 1995 dan Positif (1999).


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: