28 August 2018

LOT TANAH: AMIR PEARL TIADA NIAT TIPU, DIRINYA JUGA ARTIS


"Proses penyerahan lot tanah itu lambat kerana syarikat kami iaitu Bina Megah Empire menghadapi sedikit masalah dalaman antara lembaga pengarah dan itulah yang menyulitkan keadaan.





"Saya tak ada niat nak menipu mereka dan masalah kelewatan ini akan diselesaikan secepat mungkin. Saya berjanji akan bertanggungjawab terhadap kes ini dan akan memastikan hadiah tersebut sampai ke tangan pemenang," kata vokalis kumpulan Pearl yang popular pada era 1990-an iaitu Datuk Seri Mohd Amir Mohd Esa.

Amir yang merupakan penaja lot tanah banglo untuk tiga pemenang utama program Gegar Vaganza 4 (GV4) berkata, dia akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses tuntutan hadiah tersebut.

Menurut Amir, dia tidak berniat untuk menipu pemenang kerana dia juga seorang artis dan kini dalam proses menyelesaikan hadiah yang telah dijanjikan itu.

Pada Sabtu lalu, juara GV4 iaitu Aishah mendedahkan dia masih belum mendapat hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjuarai program tersebut dan turut membangkitkan hadiah barang kemas berupa berlian pemberian Datuk Seri Vida yang dikatakan barangan palsu.

Klik untuk gambar besar


Selain Aishah sebagai juara, naib juara GV4 dimenangi Liza Hanim dan pemenang tempat ketiga ialah Lan Solo. Ketiga-tiga mereka dijanjikan lot tanah selain hadiah iringan sumbangan pihak Astro dan penaja lain.

Sementara itu, Amir yang pernah popular dengan lagu 'Aku Tak Bersalah' pada tahun 1996 memberitahu dia ada berkomunikasi dengan ketiga-tiga pemenang itu dan sudah memaklumkan mengenai kelewatan tersebut.

"Saya ada hubungi Aishah, Liza Hanim dan Lan, mereka sudah dimaklumkan mengenai kelewatan ini dan komunikasi kami baik-baik sahaja. Namun, isu ini sudah viral dan saya tak salahkan Aishah dalam hal ini kerana memang mereka berhak menuntut hadiah tersebut.

"Insya-Allah, saya akan bertemu serta duduk semeja dengan ketiga-tiganya dan mungkin akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar," ujarnya.



Menyedari kesilapan diri dalam menguruskan tuntutan hadiah tersebut, Amir turut memohon maaf kepada ketiga-ketiga pemenang berkenaan.

"Saya minta maaf atas kelewatan pemberian hadiah ini, mereka merupakan rakan industri dan saya ini dikenali ramai. Apabila timbul isu ini, jadi tak sedap pula. Kalau nak tahu, syarikat saya turut menaja hadiah serupa kepada pemenang GV3 iaitu Azharina, Siti Sarah dan Zarul Husin.

"Mereka sudah menerima hadiah tersebut, cuma kali ini lambat sedikit atas sebab-sebab yang saya nyatakan itu," tuturnya yang tidak keberatan untuk menaja hadiah yang sama dalam program hiburan lain selepas ini.

Dalam pada itu Zarul Husin yang dihubungi mStar Online mengesahkan dia sudah menerima hadiah sebidang lot tanah seperti dijanjikan pihak Amir yang terletak di Ijok, Selangor.




www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: