18 September 2018

DIBANDINGKAN DENGAN DAYANG - SARAH SUHAIRI MAHU IDENTITI SENDIRI


"Antara saya dan kak Dayang, umpama langit dengan bumi. Tidak layak rasanya untuk kami dibandingkan, apatah lagi saya baru mencari tapak dalam bidang ini.





"Tambahan pula, saya sudah menganggap kak Dayang sebagai penyanyi idola. Secara peribadi, saya tidak nampak di mana persamaan antara kami seperti yang diperkatakan ramai.

"Mungkin ada sedikit persamaan dari segi lenggok nyanyian, tetapi seboleh mungkin, saya tidak mahu kemunculan saya dibayangi sesiapa. Disebabkan itu, saya berusaha keras mencari ruang memperkenalkan nama.

"Apabila sudah minat, saya desak diri untuk mencuba pelbagai genre muzik kerana mahu dikenali sebagai penyanyi versatil," kata bakat baharu, Sarah Suhairi yang tidak menganggap perbandingan itu memberi kelebihan untuk dia bertapak selesa meskipun suaranya dikatakan mempunyai persamaan dengan penyanyi popular, Dayang Nurfaizah.

Klik untuk gambar besar


Sebagai penyanyi baharu, Sarah, 18, berkata dia mahu dikenali ramai atas bakat dan kelebihannya, malah menyifatkan dirinya tidak layak untuk dibandingkan dengan Dayang yang memiliki vokal jauh lebih hebat serta berpengalaman.

Terlebih dulu muncul bersama single pertama, 'Pedih', Sarah juga dilihat sebagai antara peserta yang berpotensi untuk menjadi juara program realiti, Big Stage yang mendekati kemuncaknya, Ahad ini.

Mengulas mengenai harapan ramai itu, Sarah yang sering menerima pujian juri tetap, Faizal Tahir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui, agak tertekan kerana bimbang tidak mampu menggalas tanggungjawab besar itu.



Sarah yang baru lima bulan bertapak dalam industri hiburan juga bersyukur kerana platform itu membuka ruang untuk dia memperkenalkan bakatnya kepada umum.

"Tanpa program ini, barangkali saya terpaksa ambil masa yang lama untuk memperkenalkan diri. Komitmen terhadap pertandingan ini sangat besar, malah saya meletakkan seluruh fokus kerana tidak mahu mensia-siakan peluang.

"Apa juga keputusannya nanti, saya akan terus mencari ruang untuk mengukuhkan bakat. Saya merancang apabila mempunyai sedikit kelapangan masa nanti, saya mahu menyambung semula pengajian yang tertangguh," ujarnya.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: