28 September 2018

IBU HARAP AIMAN TINO TIADA PENYAKIT SERIUS


"Sudah tiga hari Aiman berehat di hospital dan kami berharap dia dapat pulang esok (hari ini). Berdebar-debar juga menanti keputusan doktor, harapnya tiada yang serius.





"Sebelum ini, Aiman sering demam dan keadaan kesihatannya kerap terganggu. Dia juga tidak menjaga waktu makan, membuatkan gastrik yang dialaminya bertambah teruk. Selain itu, tonsilnya juga bengkak.

"Saya berterima kasih kepada peminat dan orang ramai yang mendoakan kesihatan Aiman," kata ibu Aiman Tino, Hazelina Mat Jalil yang masih menanti keputusan penuh pemeriksaan kesihatan penyanyi itu, namun berharap anaknya tidak menghidap penyakit serius.

Hazelina, 42, berkata, Aiman sudah menjalani pemeriksaan endoskopi (memasukkan kamera ke dalam usus) semalam dan doktor mengenal pasti anaknya itu mengalami radang pada usus akibat jangkitan kuman.

Namun, kata Hazelina, Aiman tidak mengalami sebarang komplikasi dan penyakitnya itu dapat pulih dengan pengambilan ubat antibiotik.

Klik untuk gambar besar


Aiman atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri, 20, dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Rawang, Selangor sejak Selasa lalu selepas demam panas.

Ekoran keadaan kesihatan anaknya, Hazelina memaklumkan, mereka terpaksa menolak tiga tawaran persembahan kerana Aiman tidak berdaya untuk beraksi menghiburkan peminat.

"Terima kasih kerana memahami keadaan Aiman. Selepas ini, saya dan suami mungkin akan memantau semula jadual kerjanya bagi memastikan makan minumnya teratur.

"Sebelum ini, saya dan suami sudah jarang mengikut Aiman bekerja. Tetapi, untuk mengelakkan masalah yang sama berulang, kami perlu mengawasinya. Biasalah remaja sedang membesar, ada ketika mereka kurang memandang serius soal kesihatan," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: