29 September 2018

"MENYESAL SERINGKALI TAK SARAPAN..." - AIMAN TINO


"Saya menyesal dan mengaku memang tidak jaga pemakanan. Disebabkan kerja yang terlampau sibuk, seringkali saya tidak sarapan. Kadang-kadang tidak makan tengah hari dan malam. Itu belum dicampur lagi makanan ringan yang selalu saya makan.





"Rasa tidak seronok apabila masih lagi muda tetapi tahap kesihatan terjejas," akui penyanyi Aiman Tino yang memberitahu bahawa tuntutan kerja yang banyak sehingga mengabaikan soal pemakanan sihat menjadi antara penyumbang masalah kesihatan yang dialaminya ketika ini.

Kata Aiman atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri, 20, dia menyesal kerana sering mengabaikan waktu makanan yang betul sehingga menjejaskan kesihatan. Tambahnya, dia sendiri tidak pernah mengetahui bahawa selama ini gastrik boleh memberi kesan melampau.

Menurutnya, dia terus bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut apabila tubuh badannya mula lemah, suhu badan tinggi dan tonsil membengkak. Andai dibiarkan katanya, tidak mustahil tahap kesihatannya akan terus terjejas.

Klik untuk gambar besar


Ketika dihubungi Kosmo, pelantun lagu 'Ku Rela Dibenci' itu bersyukur tiada yang serius berlaku kepada dirinya, namun selepas ini dia akan lebih mengutamakan soal kesihatan dan pemakanan sihat agar perkara sama tidak berulang.

"Pertama sekali, jaga dan ambil pemakanan yang seimbang. Sebelum ini boleh saya katakan memang saya tidak mengendahkan kepentingan bersarapan. Sebenarnya, sarapan itu amat penting sebelum memulakan aktiviti seharian.

"Saya tidak salahkan jadual ketat sebagai seorang selebriti kerana bagi saya, kalau hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Selepas ini, saya memang perlu jaga waktu makan dengan baik," turutnya yang dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Rawang, Selangor Selasa lalu akibat radang usus.



Aiman yang bakal muncul dengan single balada terbaharu sekitar hujung tahun ini hasil ciptaan bapanya, Yusry Ishak, berkata kerjaya seni sedikit sebanyak terganggu disebabkan musibah yang berlaku ini.

"Saya terpaksa membatalkan beberapa persembahan kerana memerlukan rehat yang secukupnya sebelum aktif semula dalam bidang nyanyian.

'Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang prihatin dengan keadaan kesihatan saya sepanjang saya diuji dengan musibah ini.

"Barangkali ini peringatan daripada Tuhan supaya tidak terlalu memikirkan soal kerja sehingga membelakangi soal kesihatan. Kalau ingin terus melahirkan kerja yang cemerlang, kita perlu sihat dahulu. Jadi, saya harus jaga kesihatan dengan lebih cermat selepas ini," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: