11 September 2018

PENGARAH MINTA MAAF ISU BERCAKAP KETIKA INTUBATION


"Berkenaan dengan babak itu, saya akui kesalahan itu dan ia datang daripada kelemahan saya juga. Tapi untuk pengetahuan semua, sudah tentu saya ada merujuk pihak hospital untuk setiap babak yang melibatkan hospital.





"Babak tersebut bukan dilakukan dengan sengaja tanpa rujukan," kata pengarah drama, Mohd Fazli Yahya yang memohon maaf dan mengakui kesalahannya dalam adegan di sebuah hospital menerusi drama 'Cinta Koko Coklat'.

Fazli atau lebih mesra dengan panggilan Pali Yahya, berkata dia ada merujuk kepada pihak hospital sebelum melakukan babak tersebut ketika pesakit melalui prosedur intubat.

Pali diminta mengulas mengenai babak pelakon Sura Sojangi yang dipersoalkan dek kerana sedang berdialog dengan doktor ketika saluran tiub atau intubation dimasukkan ke dalam saluran mulut bagi tujuan rawatan.

Klik untuk gambar besar


Ramai netizen menganggap kesilapan dilakukan pengarah drama tersebut disebabkan dia tidak melakukan kajian terlebih dahulu.

Difahamkan, sesiapa yang melalui proses itu tidak boleh bercakap dan adegan yang ditonjolkan itu seharusnya tidak berlaku jika seseorang mendapatkan rawatan sebenar.

Menurut pengarah berkenaan, penggambaran tersebut telah dijalankan di KPJ Rawang Specialist Hospital dan setiap dialog dan tindakan yang melibatkan fakta telah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak hospital tersebut.

"Masa itu, penggambaran dijalankan di KPJ Rawang dan bukan hospital studio. Jadi, kita selalunya dari pihak produksi akan rujuk pihak hospital atau sesiapa yang berkenaan setiap babak yang melibatkan tahap seseorang pesakit itu.



"Dalam babak yang viral, dialog-dialog juga akan dirujuk terlebih dahulu atau kejadian yang berlaku dalam babak yang memerlukan fakta," ujarnya.

Dalam pada itu, Pali akan lebih berhati-hati dalam setiap babak yang melibatkan bidang perubatan selepas ini.

"Insya-Allah selepas ini saya akan lebih berjaga-jaga dalam membuat sesuatu babak yang ada kaitan dengan pihak hospital dan perubatan," tuturnya.

Sebelum ini, drama bersiri 'Mona Lisa' turut ada adegan bagaimana seorang doktor mengesahkan pesakit mengalami hilang ingatan menerusi kaedah imbasan x-ray yang mana ia bercanggah dengan amalan perubatan sebenar.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: