30 September 2018

TAHNIAH - NOURUL SAHKAN HAMIL ANAK KE-4


"Saya bersyukur apabila diberikan rezeki untuk hamil lagi pada usia 41 tahun. Kini, kandungan saya genap dua minggu. Sebenarnya, suami berulang kali merayu supaya saya mengandung lagi.





"Alhamdulillah, doanya dimakbulkan, malah anak-anak terutama Ayu (Nazirah) pun berkongsi kegembiraan kerana keluarga kami akan lebih meriah," kata penyanyi Nourul Wahab Depp yang bersyukur apabila disahkan hamil anak keempat yang dijangka kelahirannya pada Mei tahun depan.

Menurut artis terbabit, suaminya, Eric Daniel Depp, 52, sebelum ini memang kerap meluahkan keinginan untuk menimang seorang lagi cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga mereka

Rumah tangga Nourul bersama lelaki Perancis terbabit diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, Zachary Depp, 5, dan Raphael Depp, 3, manakala bersama bekas suami, Ajai, mereka mempunyai anak perempuan yang sudah mencecah usia 20 tahun, Ayu.

Klik untuk gambar besar


Berkongsi keadaan kesihatannya, akui Nourul, dia memang tidak mengalami sebarang alahan sepanjang kehamilan terdahulu, cuma kali ini dirinya mengidam kuih tradisional.

"Entah kenapa, saya teringin sangat makan kuih dangai yang berasaskan kelapa. Mujurlah kami dapat cari di sekitar sini saja. Begitu juga dengan apam manis.

"Setakat ini, stamina saya pun macam biasa dan masih boleh bekerja. Begitupun, baru-baru ini saya berdepan masalah selesema dan sakit tekak yang teruk, sehingga terpaksa membatalkan satu persembahan disebabkan kehilangan suara.



"Saya pula tidak boleh mengambil ubat yang kuat kerana masih pada peringkat awal kehamilan. Jadi, buat waktu ini saya kena rehatkan tekak dulu. Apa pun, jika sudah sihat sepenuhnya nanti saya masih boleh mengambil undangan menyanyi," tuturnya.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Noorulhuda Abdul Wahab itu dalam persediaan untuk kembali ke Paris bagi urusan pengedaran album berbahasa Perancisnya, Humaine, November depan.

"Ikutkan perancangan, saya akan berada di sana selama kira-kira dua bulan dan hanya kembali ke tanah air sekitar Januari 2018.

"Bersama-sama pasukan sokongan, kami akan bertemu dengan syarikat pengedar di negara terbabit, namun lagu daripada album ini sudah boleh didapati di platform digital," jelasnya.










www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: