18 October 2018

2 KALI JUARA MLM - BOCEY AKUI TIADA NIAT TUTUP PERIUK NASI


Sekali lagi menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM), kumpulan lawak Bocey memberitahu yang mereka bukan kerana mahu mengekalkan gelaran juara yang pernah dimenangi mereka dua tahun berturut-turut sebelum ini.





Salah seorang ahlinya iaitu Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 30, berkata dia menganggap pentas MLM 2018 merupakan satu-satunya platform untuk mereka mengembangkan bakat sebagai pelawak.

Menurut Abam, penyertaan Bocey pada MLM kali ini adalah untuk mengasah bakat serta idea mereka bagi bersaing dengan pelawak baru dan senior.

Selain itu, Bocey mengakui penyertaan mereka dalam MLM 2018 bukan untuk menutup peluang buat pelawak-pelawak baru menyerlah.

"Sejujurnya kami sertai program MLM 2018 bukan disebabkan nak menang atau nak kekalkan gelaran juara dan bukan juga untuk sekadar suka-suka saja. Tapi ini sahaja platform kami sebagai pelawak untuk kembangkan dan mengasah bakat kami serta dapat belajar benda baru.

Klik untuk gambar besar


"Lagipun, kami masih anggap diri baharu dalam bidang ini. Macam penyanyi atau pelakon mereka ada tempat untuk sentiasa ada. Tapi pelawak, program seperti ini sahaja yang boleh untuk kami.

"Kami tiada niat mahu menutup periuk nasi sesiapa pun kerana semua ini bergantung kepada rezeki yang telah ditentukan. Mungkin dengan adanya pelawak baru ini akan membuatkan kami lebih berhati-hati kerana idea yang diketengahkan begitu segar.

"Ini merupakan cabaran bagi kami untuk mencari idea-idea lebih segar agar orang tidak bosan dengan lawak yang diketengahkan oleh Bocey. Dengan adanya kami mungkin mereka akan melakukan yang terbaik untuk bersaing dengan kelompok pelawak senior," katanya.

Selain Abam, Bocey turut dianggotai oleh pelawak dan penyanyi Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 32 dan Fad atau Muhamad Fadzlie Mohd Nizam, 28.



Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2013 itu sebelum ini merangkul gelaran juara dua MLM dua tahun berturut-turut iaitu pada 2016 dan 2017. Dalam setiap kemenangan itu mereka mendapat wang tunai RM500,000.

Menerusi MLM 2018, Bocey akan berentap dengan 12 peserta iaitu kumpulan Puteh, Shiro, Masin, Abioso, Abata, Kiut, Joras, Taman, Zero, Chilok dan peserta solo, Dany dan Hilmy Ashley.

Dalam pada itu, Bocey mempunyai perancangan untuk mengeluarkan sebuah single sejak awal kemunculan mereka dalam industri namun masih belum menjumpai lagu yang sesuai.

"Memang dari awal pembabitan Bocey dalam industri ini kami ada rancang nak keluarkan sebuah lagu berkenaan dengan diri kami bertiga.

"Tapi hasrat itu sampailah sekarang tak terlaksana lagi. Mungkin kami belum jumpa lagi lagu yang betul-betul sesuai untuk kami bertiga," kata Fad.




www.myartis.com / Sumber: mStar & Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: