19 October 2018
"BAYARAN TETAP SAMA, TAK MAHU BERKIRA" - NABIL
Menerima anugerah pengacara Hiburan Terbaik pada acara Asian Academy Creative Awards (AAA), pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad, 35, menyifatkan pengiktirafan tersebut tidak sesekali membuatnya alpa.
Kata Nabil, sebaliknya dia menganggap, kemenangan pada acara sempena pameran dan pasaran kandungan serta kreatif global (MIPCOM) di Cannes, Perancis pada Isnin lalu itu membakar semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik.
"Bayaran saya tetap sama sahaja. Tidak akan ada perubahan kerana dalam situasi sekarang, kita tidak boleh meletak letak harga sesuka hati.
"Saya pernah berdepan pengalaman apabila langsung tidak menerima tawaran dan keadaan itu membuatkan saya bimbang memandangkan saya ada banyak komitmen.
Klik untuk gambar besar
"Perasaan bimbang itu, bagaimanapun hilang apabila rakan lain turut mengalami nasib serupa. Justeru, saya tidak mahu berkira sangat soal bayaran kerana apa yang lebih penting adalah tawaran kerja berterusan demi jaminan masa depan," ujarnya.
Bekas pemegang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-21 itu memenangi anugerah itu menerusi program, Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4) yang dikendalikan bersama Jihan Muse, tahun lalu.
"Program ini mengheret saya dalam pelbagai kontroversi, termasuk kes dengan Datuk Chef Wan antara yang hangat diperkatakan hingga saya teruk dikecam.
"Tidak sangka, program itu menghadiahkan kemenangan. Mungkin saya kena teruskan kontroversi sebab orang suka hingga saya menerima pengiktirafan," katanya berseloroh.
Kata Nabil, kejayaan itu bukan miliknya seorang kerana ia turut dikongsi bersama mereka yang menjadi tulang belakang kekuatannya.
"Kalau bukan kerana Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi) yang membawa saya ke dunia pengacaraan, saya tidak akan berada di sini.
"Terima kasih juga kepada produksi, media dan peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya selama ini,” kata anak kelahiran Negeri Sembilan ini.
AAA diperkenalkan untuk memberi pengiktirafan dan meraikan kejayaan mereka yang terbabit secara langsung dalam industri kreatif terutama dalam segmen kandungan dan produksi media. Anugerah itu mempertandingkan 49 kategori membabitkan penyertaan dari 20 negara Asia.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment