26 October 2018

BERJAYA GENGGAM DIPLOMA - NAIM DANIEL MAHU IJAZAH PULA


Pelakon dan penyanyi Naim Daniel yang berhempas pulas membahagikan masa antara aktiviti seni dan pelajaran itu kini berbangga apabila dia berjaya menggenggam diploma dalam bidang muzik.





Lebih membuatkan Naim bersyukur, sepanjang pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dia juga berjaya mendapat Anugerah Dekan untuk tiga semester.

Bintang 'Bisik Pada Langit' itu menerima diplomanya pada upacara konvokesyen di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

"Insya-Allah, saya akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah pula pada tahun depan, atas dorongan keluarga dan insan sekeliling. Justeru, saya perlu menyusun jadual seni dengan sebaiknya bagi memudahkan saya memberikan tumpuan kepada kedua-dua bidang nanti.

"Tentunya saya berbangga apabila dapat menghabiskan pengajian sekalipun sibuk dengan rutin seni. Semua itu berbalik kepada kemahuan diri sendiri," tuturnya yang menerima diplomanya sehari selepas penyanyi, Sufian Suhaimi, menggenggam Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dari universiti sama.

Klik untuk gambar besar


Ketika ini, Naim yang berusia kini 21 tahun itu masih sibuk mempromosikan single terbarunya yang berjudul 'Sempurna'.

Lagu ciptaannya bersama Omar K dan Adib Hamdi itu cuba menyampaikan mesej kepada anak muda supaya tidak mengabaikan diri serta cita-cita kerana tekanan serta pandangan negatif orang lain.

"Saya juga menjual barangan istimewa seperti kemeja T sebagai strategi mempromosikan lagu terbabit. Pada masa sama, saya kini berusaha untuk menghasilkan single seterusnya. Mungkin selepas ini saya merakamkan lagu berentak balada pula, selain karya dalam bahasa Inggeris," katanya.

Artis naungan World Peace Entertainment yang mula menceburi industri hiburan sejak usia 13 tahun itu muncul dengan single sulung, 'Sekali Lagi', awal tahun ini.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: