30 October 2018

ELAK GANGGUAN MISTIK - PESERTA GV PERLU BACA DOA NABI SULAIMAN


Semua sedia maklum mengenai salah seorang peserta Gegar Vaganza musim ke-5 (GV5), Zamani yang gagal membuat persembahan kerana masalah suara semasa konsert minggu kelima Ahad lalu.





Keadaan Zamani itu menguatkan lagi dakwaan sememangnya pentas GV mempunyai unsur mistik dan bukan sahaja Zamani malah beberapa artis lain yang menyertai pertandingan itu juga turut berhadapan dengan pelbagai peristiwa pelik.

Ia termasuklah dakwaan artis yang berasa pening dan seperti nak pitam malah ada juga mengatakan pernah terhidu bau busuk bagaikan asap kemenyan setiap kali pertandingan bermula. Ada juga dalam kalangan pengamal media yang membuat liputan berasakan hal yang sama.

Peserta GV5 yang berasa bimbang dengan perkara mistik ketika menyertai pertandingan itu dinasihatkan membaca doa Nabi Sulaiman.

Pengamal perubatan dan perawatan Islam, Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, doa berkenaan dapat mengelak daripada gangguan makhluk halus atau jin.

Klik untuk gambar besar


"Terdapat doa yang panjang tetapi jika sukar, mereka boleh membaca; 'Salamun alai Sulaiman nafil a'lamin' yang membawa maksud 'salam sejahtera kepada Nabi Allah Sulaiman yang menguasai sekalian alam', namun mesti dalam keadaan bersih iaitu tanpa didatangi haid bagi wanita," katanya.

Tuan Asmawi diminta berkongsi pendapat apabila timbul khabar angin pentas Gegar Vaganza dikatakan 'keras' apabila pesertanya sering mengalami perkara mistik.

Setakat ini kira-kira tujuh artis pernah dikaitkan dengan peristiwa pelik sepanjang musim pertandingan itu termasuklah pada Ahad lalu apabila Zamani gagal membuat persembahan kerana peti suara koyak.

Zamani dikatakan tidak menghadapi masalah sebelumnya. Selain Zamani, penyanyi Amelina turut dilaporkan tidak sihat sebelum ini.



Untuk pengetahuan, Nabi Sulaiman diberikan mukjizat oleh Allah apabila baginda boleh memahami bahasa haiwan sementara segala jin tunduk bawah kekuasaannya.

Dalam pada itu, Tuan Asmawi menasihati orang ramai agar tidak membuat apa-apa spekulasi bagi mengelak timbul fitnah dalam pertandingan itu.

Beliau mengambil contoh pada acara berkenaan sebelum ini apabila terdapat tuduhan tidak baik terhadap Zur Eda berkaitan bomoh.

"Tugas jin dan syaitan ini mahu menyesatkan dan melaga-lagakan sesama manusia dan bila wujud isu ini, saya bimbang berlaku tuduhan antara satu sama lain dan ia perkara tidak baik," ujarnya.



Ditanya mengenai gangguan makhluk halus yang mungkin berlaku di pentas GV, Tuan Asmawi berkata, seseorang yang mengalami gangguan hanya boleh dikesan dengan kaedah tertentu apabila individu terlibat berjumpanya.

Tuan Asmawi yang juga pemilik suara latar rancangan hiburan dan iklan berkata, sebelum ini pihak produksi GV musim ke-3 pernah menghubungi bagi mendapatkan bantuannya namun dia tidak dapat membantu kerana komitmen lain.

Bagaimanapun pada 2017, dia pernah melakukan perawatan Islam untuk acara AF Megastar di Royal Theatre Shah Alam apabila pihak produksi mengalami gangguan.

"Pada masa itu saya diminta hadir untuk membuat perawatan Islam apabila terdapat perkara tidak diingini di pentas tersebut. Semasa proses itu, spotlight di bumbung bergoyang-goyang dan kru lari keluar kerana ketakutan. Menggunakan kaedah tertentu, masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan izin Allah," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: