08 October 2018
"HANYALAH FITNAH & REKAAN" - NOORKUMALASARI
"Semuanya tipu! Ia tidak lebih daripada berita panas yang direka-reka. Lagi mereka buat fitnah dan menyebarkan gosip yang tidak benar, selagi itulah Allah SWT mengurniakan Kak Nita kesihatan yang baik.
"Berita yang mendakwa Kak Nita dan suaminya, Mahathir Abdullah sudah bercerai juga hanyalah fitnah dan rekaan," kata pelakon dan penyanyi popular era 1980-an, Noor Kumalasari, 62, yang menyangkal gosip mendakwa kakak tirinya, Anita Sarawak sedang bertarung nyawa dengan penyakit kanser.
Beberapa bulan lalu timbul gosip mengatakan penghibur bertaraf superstar berusia 66 tahun itu kini mendapatkan rawatan penyakit kanser di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Tahun lalu, heboh pula kisah mendakwa Anita atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nita kembali menetap di Singapura, selepas seorang peminat dikatakan terserempak dengannya di sebuah restoran makanan segera yang agak terpencil di Ang Mo Kio.
Pelakon filem 'Menanti Hari Esok', 'Tiada Esok Bagimu' dan 'Esok Untuk Siapa' itu berkata, seorang daripada adik-beradiknya pernah berbual dengan Mahathir.
Klik untuk gambar besar
"Jadi, berita yang mendakwa rumah tangga Kak Nita dan Mahathir berantakan itu tidak benar sama sekali. Mana mungkin mereka sering bersama sekiranya sudah bercerai," ujarnya.
Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 yang pernah popular dengan lagu 'Mata' dan 'Hati Seorang Kekasih' itu berkata, adik-beradiknya sering berhubung dengan Kak Nita. Malah, hubungan mereka tidak pernah terputus dan kekal baik hingga hari ini.
"Kak Nita tidak pernah lupa untuk menghubungi adik-beradik untuk mengucapkan selamat hari jadi atau menyambut puasa serta Aidilfitri.
"Cuma, hanya saya yang terputus hubungan dengannya. Kak Nita faham dengan situasi saya, dia tidak mahu saya menjadi buruan wartawan.
"Dia juga tidak mahu masalahnya menjadi beban dalam hidup saya. Mungkin kerana tidak mahu saya terus tertekan, Kak Nita tidak lagi menghubungi saya," jelasnya.
Noor yang kini sudah meninggalkan legasi seninya berkata, apa yang diberitahu adik-beradiknya, Kak Nita dan Mahathir sering berpindah randah di Amerika Syarikat.
"Abang Mahathir beritahu mereka menjalankan perniagaan hartanah, jadi selalu berpindah randah. Kak Nita ada memberitahu mahu menjual rumah di Campana Drive, Spring Valley, Las Vegas dulu.
"Dia pun jarang balik ke rumah di Las Vegas, jadi dia mahu menjual kediaman berkenaan. Mungkin dia sudah menjualnya, itu saya tidak pasti.
"Apapun, saya berharap jangan percaya dengan khabar angin yang tidak betul. Bertanya pada keluarga kerana hanya keluarga mengetahui kebenaran cerita Kak Nita, bukan orang luar," tuturnya.
Untuk makluman, Anita menghilangkan diri sejak pertengahan 2011 selepas dikatakan merajuk dengan sebuah stesen TV. Sejak tujuh tahun berlalu, kehilangan Anita terus menjadi tanda tanya.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment