08 October 2018

TAK GENTAR JIKA 'TERJEJAS' - AISHAH PERJUANGKAN HAK ARTIS


Kontroversi yang melanda penyanyi Aishah dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida selepas penyanyi lagu 'Janji Manismu' itu mendakwa barang kemas berupa rantai berlian yang diterima sebagai hadiah tambahan ketika menjuarai program Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4) adalah palsu, nampaknya tidak terhenti di situ sahaja.





Seiring kehangatan pembukaan tirai kelima program berkenaan pada minggu lalu, Aishah sekali lagi lantang bersuara menegakkan haknya yang belum dilangsaikan.

Terbaharu, Aishah melalui peguamnya telah mengemukakan surat tuntutan kepada penaja utama GV4, usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) agar membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung rantai berlian palsu yang dihadiahkan kepadanya.

Malah, pemilik nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin, 53, sedikit pun tidak gentar sekiranya tindakan tersebut bakal menjejaskan karier seninya yang baru hendak kembali menyinar.

Klik untuk gambar besar


Aishah ketika ditemui media usai sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini berkata dia tidak mahu rakan artis lain menerima nasib yang sama sepertinya.

"Saya juga mahukan seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti yang dihebohkan beliau sebelum ini. Saya memberi masa selama seminggu bermula Jumaat lalu untuk beliau menjawab dan mematuhi tuntutan berkenaan. Jika tidak, saya akan memanjangkan perkara ini ke mahkamah.

"Sebenarnya saya terkejut dan tidak sangka orang sekarang boleh buat begini. Sebagai penaja yang begitu dikenali ramai, beliau berani buat perkara sebegini dan kemudian mengambil sikap sambil lewa.

"Begitu pun, saya tidak akan membiarkan perkara ini begitu sahaja kerana tidak mustahil ia akan berlaku lagi jika tiada siapa berani bersuara kerana takut akan digam oleh mana-mana stesen televisyen. Tambahan, saya sudah membawa rantai itu ke pusat ujian batu berlian dan ternyata ia palsu," katanya.



Ditanya adakah kes berkenaan memberi kesan dalam kehidupan peribadinya, Aishah memberitahu yang dia sangat tertekan pada awalnya selepas ramai yang menuduhnya sengaja membuka aib dan tidak tahu bersyukur.

Mengenai kerjaya seni pula sekiranya terjejas atas tindakannya itu, Aishah berkata peminatnya itu faham penjuangannya itu dan dia yakin rezeki Allah yang tentukan.

"Ya. Pada awalnya saya sangat tertekan kerana terdapat kata-kata sumbang menuduh saya sengaja membuka aib. Bagi saya, jika tidak ditipu sebegini, sebenarnya tiada aib yang akan dibuka. Malah ada juga melemparkan tuduhan saya tidak tahu bersyukur.

"Hal yang sama mungkin akan dilakukan orang lain. Misalnya dijanjikan wang bonus tetapi duit itu sebenarnya palsu. Ikutkan, saya juga malas mahu memanjangkan hal ini, malangnya kami tiada persatuan pekerja. Jadi, kami perlu bergerak sendiri melalui peguam. Kita perlu ubah, tidak boleh gunakan nama artis untuk melariskan produk mereka.



"Saya rasa apabila orang sudah benci selamanya akan tetap benci. Bagaimanapun, saya yakin ada peminat faham dengan perjuangan saya ini. Saya yakin rezeki Allah yang tentukan. Dahulu saya pernah digam sehingga tidak muncul di kaca televisyen selama bertahun-tahun. Alhamdulillah saya masih di sini.

"Sudah 31 tahun saya berada dalam industri sebagai penyanyi, naik turun itu biasa tetapi ia tetap perlu diharungi. Bagi saya, bila diperjuangkan hal ini, saya boleh tidur lena pada waktu malam. Kerana saya telah buat apa yang patut dilakukan," jelasnya.

Melihat kejadian sebegini, kata Aishah yang dia tidak trauma untuk menyertai mana-mana pertandingan nyanyian lagi kerana tidak menganggap semua penaja bersikap sebegitu.

"Tidak kerana saya tidak boleh menganggap semua penaja bersikap sebegitu. Sejujurnya, saya gembira dengan pengalaman sepanjang berada dalam GV, cuma apabila terjadi hal penipuan seperti ini saya tidak boleh diamkan diri," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: