03 October 2018

"JANGAN CEPAT MENGHUKUM" - JANNA AKUI 'WISH RM50' UNTUK AMAL


Sebelum ini pelakon dan penyanyi Janna Nick, 23, telah dikecam teruk gara-gara kutipan RM50 daripada ucapan hari jadi, #WishServiceByJannaNick di akaun Instagram miliknya. Bagaimanapun, Janna mendedahkan bahawa perkara yang mencetuskan kontroversi itu adalah bertujuan untuk memberi sumbangan kepada golongan memerlukan.





Katanya, semua wang hasil perkhidmatan ditawarkan akan dimasukkan ke tabung pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Wish for Their Hope (WFTH) sebelum mengagihkannya kepada rumah kebajikan, anak yatim, orang miskin dan gelandangan.

Mengakui mempunyai alasan tersendiri mengapa dia mengambil bayaran tersebut, Janna berkata perkara itu dilakukan adalah untuk membantu orang yang lebih memerlukan dan bayaran diterima itu bukan untuk dirinya sendiri.

"Alhamdulillah, ini merupakan langkah awal untuk saya membantu golongan yang memerlukan dan apa saya buat sepanjang minggu lalu mempunyai alasan dan tujuan tersendiri. Saya ingin jelaskan bahawa semua bayaran yang dibuat bukan untuk kepentingan peribadi saya, sebaliknya untuk tabung Wish For Their Hope (WFTH).

"Sekarang merupakan masa untuk saya memberi balik pada komuniti kerana bagi saya apa guna kalau ada platfom media sosial jika tidak digunakan dengan betul. Walaupun ramai yang memberi kecaman pada awalnya namun saya tidak kisah kerana saya tahu apa yang saya lakukan ini betul.

Klik untuk gambar besar


"Saya berharap agar orang ramai jangan terlalu cepat menghukum dengan apa yang dilakukan oleh sesorang selebriti kerana setiap perkara yang dilakukan ada sebab. Idea merealisasikan WFTH dan #wishservicebyjannanick yang membawa misi membantu insan memerlukan diilhamkan sejak empat bulan lalu.

"Syukur hingga ini, khidmat itu sudah mengumpul kira-kira RM2,000 sejak diperkenalkan. Sejak awal tahun lagi, saya sudah berniat untuk tidak memberi reaksi terhadap komen negatif, selain berazam memberi semula kepada masyarakat menerusi kerja kebajikan.

Usaha ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka," katanya selepas penyerahan sumbangan di Rumah Kasih Nurul Hasanah, pagi tadi.

Mengenai kecaman pihak yang membuta-tuli mempersoalkan niatnya itu, Janna berkata, dia sudah bersedia berdepan dengan segala kemungkinan selepas menawarkan khidmat berbayar itu.



"Jika ada pihak yang menganggap usaha ini sebagai gimik, saya terima sahaja. Jika baik niatnya, kita anggap sahaja gimik ini 'menjadi'. Sebelum ini, saya pernah berkongsi status di Instagram untuk membantu pihak memerlukan.

"Namun, maklum balasnya tidak serancak ini. Jadi, sambil memberikan ucapan hari istimewa, kita juga menderma. Alhamdulillah, usaha ini mendapat sokongan rakan artis seperti Mawar Rashid dan Sharifah Sakinah yang membantunya tular menerusi parodi mereka.

"Kalau usaha begini memberi inspirasi kepada selebriti lain untuk membantu, kenapa tidak? Saya juga difahamkan ramai menggunakan idea ini bagi menjana pendapatan seperti menghasilkan lagu iklan dan menjual lukisan. Tidak mengapa, itu rezeki mereka," tuturnya.

Apa-apapun, tindakan Janna itu seharusnya dipuji kerana niatnya adalah untuk membantu mereka yang memerlukan.




www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak, Berita Harian & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: