14 October 2018

NASIHAT SALEEM BERBUAT BAIK JADI PEGANGAN SYAFIQ FARHAIN


Tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana, penyanyi baharu Syafiq Farhain berkata, nasihat arwah bapanya, penyanyi Saleem, supaya sentiasa berbuat baik tanpa mengira sesiapa itu akan sentiasa diingati, apatah lagi kini turut mengikut jejak menjadi insan seni.





"Saya begitu terasa apabila kehilangan orang yang tersayang. Meskipun tidak membesar sepenuhnya bersama ayah, arwah ada menitipkan pesanan supaya sentiasa berbuat baik tanpa mengira sesiapa.

"Kehilangannya itu tiada ganti dan saya yakin, meskipun sudah tiada, karyanya akan terus hidup dan subur di hati ramai," katanya.

Syafiq berkata, selepas ayahnya mendapat kemalangan pada 20 September lalu, dia sempat menziarahinya yang ketika itu menerima rawatan di sebuah hospital di Kajang, Selangor.

Klik untuk gambar besar


"Selepas itu, saya mula sibuk dengan persiapan untuk konsert akhir Big Stage. Selepas itu, saya mendapat tahu arwah dibenarkan pulang sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), tiga hari lalu," jelasnya.

Saleem yang menghembuskan nafas terakhir jam 6.30 pagi tadi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana, kira-kira jam 2 petang tadi.

Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata hasil perkahwinan pertama iaitu Nurluqman Hakim, 30; Nurul Hidayah, 28; Nurfahmie Jufrie, 26; Nur Syafiq Farhain, 24; dan NurulAzwanie Shuhada, 18; serta Mohd Amirul Mukmin, 15, hasil perkahwinan bersama Julia Bachok.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: