14 October 2018

ZAMANI DEDAH SALEEM PERNAH BERBUAL SERTAI GV


"Kami ada berbual dan bergurau untuk masuk Gegar Vaganza beberapa tahun lalu sewaktu dia sihat. Saya amat terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan dia dalam keadaan sedar. Saya ada melawatnya selepas kemalangan namun dia tidak boleh bercakap.





"Allahyarham memang senang untuk memberikan kerjasama terutama ketika di studio rakaman. Suaranya memang tiada ganti," kata penyanyi Zamani Slam yang pernah bercakap mengenai perkara itu dengan Allahyarham Saleem (Iklim) beberapa tahun lalu berhubung menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV).

Zamani yang kini sedang berjuang di pentas GV5 itu ditemui ketika menziarahi jenazah Allahyarham Saleem di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Saleem atau nama sebenarnya, A.M Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada 6.15 pagi tadi.

Penyanyi berusia 57 itu terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu. Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah dan dia berada dalam keadaan koma.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, penyanyi Datuk Hattan memberitahu beliau pernah merakamkan sebuah lagu bersama Saleem namun tidak berpeluang untuk dilancarkan.

Ujarnya, kali terakhir mereka berkongsi pentas yang sama semasa menjayakan sebuah konsert jelajah di Sabah penghujung tahun lalu.

"Kami berdua ada merakam sebuah lagu. Tetapi ia tidak pernah dilancarkan. Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham adalah pada bulan Disember lalu ketika sama-sama menjayakan konsert jelajah di Sabah.

"Saya agak ralat kerana sepatutnya saya dan isteri melawatnya dua minggu lalu namun dibatalkan saat akhir kerana perlu pulang ke kampung," ujarnya.



Gitaris Iklim, Umarul Mahdzar Embong pula berkata, mereka ada merancang untuk mengadakan persembahan bagi mengutip dana menampung kos perubatan arwah, namun tidak kesampaian.

"Iklim mempunyai banyak lagu popular dan kami ada mengundang beberapa penyanyi termasuk Hattan untuk menjayakan persembahan amal itu. Malangnya, hajat itu tidak menjadi kenyataan kerana arwah terlebih dahulu pergi meninggalkan semua," tuturnya yang terkilan.

Sementara itu, laman sosial dibanjiri dengan luahan kesedihan penggiat seni yang turut merasai kehilangan penyanyi kelahiran Setiu, Terengganu itu.

Vokalis kumpulan Search, Amy menyifatkan lagu nyanyian arwah, 'Suci Dalam Debu' terlalu indah, malah akan terus diingati peminat di seluruh Nusantara.



Penulis lirik yang juga personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya berkata, peluang bekerjasama dalam menghasilkan lagu, 'Ranting Angin' untuk arwah akan menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Selebriti lain yang turut berkongsi kesedihan itu termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Mark Adam, Fauziah Latiff, Ifa Raziah, Faizal Tahir dan Ajak Shiro.

Jenazah Saleem dibawa ke Surau As-Syakirin, Bandar Mahkota Cheras dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Cheras Perdana selepas Zohor.

Takziah diucapkan kepada ahli keluarga Saleem dan diharapkan mereka tabah menjalani dugaan ini. Selain keluarga, dilihat rakan selebriti juga turut bersedih dan mengucapkan takziah di laman sosial.






www.myartis.com / Sumber: mStar & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: