27 October 2018

"SAYA MASIH TAHU BATAS BILA BERGAYA" - ZAHIRAH MACWILSON


"Jika hendak bercakap soal pengaruh, dunia sekarang semuanya di hujung jari, jadi tidak perlu menunggu saya berpakaian seksi untuk menjejaskan pemikiran remaja yang mengikuti saya di media sosial.





"Lagipun pada hemat saya, apa yang saya pakai bukanlah begitu mencolok mata dan saya masih tahu batas bila bergaya.

"Dibesarkan di luar negara (Perth, Australia) selama 20 tahun, beginilah fesyen saya sejak dahulu dan ibu bapa saya juga mengetahuinya," ujar pelakon Zahirah Macwilwon yang memberitahu sebagai pelakon baharu, dia tidak mahu menimbulkan masalah dengan semua pihak.

Baru-baru ini timbul isu tentang gaya pemakaian gadis berusia 23 tahun ini yang dianggap keterlaluan dan tidak sopan oleh peminat ketika berkunjung ke Tokyo, Jepun, namun Zahirah hanya mampu tertawa.

Klik untuk gambar besar


Menganggap hal berkenaan pemakaian seseorang artis sebagai sesuatu yang sentiasa dijadikan bahan oleh peminat untuk mencetuskan perdebatan sesama mereka, pelakon yang popular dengan drama 'Jangan Benci Cintaku' ini lebih suka membiarkan ia senyap sendiri.

Tambahnya lagi, setiap apa yang dibuat dan dipakai pasti telah mendapat persetujuan atau keizinan daripada kedua ibu bapanya terlebih dahulu, jadi jika mereka tidak mempunyai sebarang bantahan maka, Zahirah berasa itu sudah cukup buat dirinya.

"Setiap kali memuat naik sebarang foto dalam media sosial, saya lakukan dengan niat untuk berkongsi perkembangan terkini tentang kerja atau aktiviti harian saya.

"Ini bukan kali pertama soal pemakaian menjadi isu, jadi saya malas hendak panjangkan perkara ini. Apa yang penting saya tahu apa yang dilakukan dan ia bukan dibuat untuk menarik perhatian secara suka-suka," katanya.



Ditanya pernahkah berasa kesal dengan sikap peminat yang suka menuduh perkara yang tidak elok secara membuta tuli sahaja, ini kata Zahirah:

"Tidak, kerana saya faham di Malaysia, sensitiviti soal pemakaian ini agak tinggi dan mungkin mereka tidak tahu tujuan sebenar saya berpakaian begitu atas dasar apa.

"Sebenarnya saya memakai kostum arnab sewaktu di Jepun kerana tuntutan kerja apabila menjalani penggambaran bersama AirAsia untuk kempen #ThroughTheLens. Ia sebahagian daripada kerja, jadi saya lakukannya kerana ia tanggungjawab saya.

"Biarlah mereka hendak berkata apa sahaja kerana mulut manusia memang tidak boleh ditutup. Saya tidak melakukan apa yang dikatakan itu, jadi mengapa perlu terasa hati. Saya ke sana untuk bekerja dan telah laksanakan tanggungjawab saya. Itu sudah memadai," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: