07 October 2018

TAMAT DIPLOMA - FARA HEZEL BERHASRAT SAMBUNG IJAZAH, BUKA KAFE


"Teruja bercampur gembira kerana akhirnya dapat sampai ke tahap ini. Kepenatan dan pergelutan yang dilalui memberi 1,001 hikmah tersendiri. Ia juga hadiah paling berharga untuk ibu dan ayah saya.





"Berkat doa mereka juga, saya berjaya melepasi fasa ini," kata penyanyi, Fara Hezel yang telah menamatkan pengajian Diploma Pemasaran di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak, selepas empat tahun bekerja keras.

Kata kakak kepada bintang remaja, Aiman Tino itu, kejayaan melunaskan pengajian dianggap hadiah paling manis buat dirinya.

Menurut Fara lagi, selepas ini dia berhasrat melanjutkan pengajian di ASWARA pula bagi peringkat ijazah.

"Insya-Allah saya ingin teroka bidang muzik klasikal pula selepas ini," tutur penyanyi lagu 'Setiaku Pasti' itu.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu peserta Big Stage ini juga berhasrat mencuba nasib dalam bidang pengacaraan selain terus menyanyi.

"Sekali pun gagal menyerlah dalam pertandingan itu, ia bukan titik noktah untuk kerjaya seni. Saya akan terus berjuang, termasuk cuba mengintai ruang menjadi pengacara," ujarnya yang kini baru muncul dengan single ketiganya, 'Ku Pasrah'.

Selain itu, Fara juga merancang membuka sebuah kafe selepas berjaya menamatkan pengajian dan berkata idea untuk membuka kafe tercetus ketika dia melanjutkan pelajaran dalam jurusan terbabit.

"Sepanjang empat tahun mengikuti Diploma Pemasaran ini saya banyak belajar selok-belok dunia perniagaan dan cara memasarkan sesuatu produk. Saya kini dalam perancangan membuka kafe sebagai salah satu sumber pendapatan," jelasnya.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: