28 October 2018

TEMUI KEKUATAN - DEJA MOSS MUNCUL DENGAN 'MENEPIS RAWAN'


"Saya lega dan reda atas perpisahan yang tidak pernah saya minta. Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu? Saya sudah puas menangis, tetapi segala-galanya saya pendam sendirian. Jiwa saya terlalu sakit, tetapi apakan daya, siapa saya untuk menolak kehendak takdir?





"Saya tidak tahu apa salah dan silap saya disakiti sedalam ini, selepas hampir 10 tahun membina rumah tangga,” kata penyanyi Deja Moss yang mengakui dia sudah menemui kekuatan untuk kembali bangkit meneruskan hidup, meskipun kemelut rumah tangga dengan bekas suaminya, Azfendy Azzuddin Ahmad baru menemui noktah, Rabu lalu.

Deja, 45, berkata selepas lebih setahun tidak sebumbung, dia berasakan batu yang selama ini membebani kepalanya bagaikan terhempas apabila mereka berpisah talak satu.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu 'Asmara Ini' dan 'Di Matamu Aku Di Jiwamu Dia' itu berkata, air matanya sudah kering sepanjang dia bertarung mempertahankan rumah tangganya membuatkan dia tidak menangis ketika talak gugur.

Klik untuk gambar besar


Malah katanya, dia juga tidak berpeluang bercakap buat kali terakhir dengan bekas suaminya apabila lelaki berkenaan tergesa-gesa pulang sejurus melafazkan talak.

"Kalau ikutkan hati, saya mahu bersemuka dan meluahkan apa yang terbuku di hati selama ini. Tetapi saya tidak sempat berbuat demikian. Dia seolah-olah mahu melarikan diri.

"Sehingga dijatuhkan talak Rabu lalu, sudah 10 bulan kami tidak berkomunikasi kerana segala ruang untuk saya berhubung dengannya disekat.

"Jika ada perkara penting, saya terpaksa meminta pertolongan sepupunya untuk menyampaikannya," ujarnya.



Wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu juga mengakui, ekoran terlalu memendam rasa apabila suaminya mula berubah, tubuhnya menjadi kurus kering.

Mengakui apa yang berlaku adalah kejutan besar dalam hidupnya, Deja berkata, semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit dengan semangat baharu.

Deja bakal kembali dengan single terbaru, 'Menepis Rawan' ciptaan Asfan dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya yang bakal dilancarkan Disember ini.

"Saya sanggup mengeluarkan duit simpanan untuk menghasilkan lagu 'Menepis Rawan' ini. Saya mahu bermula dalam dunia muzik sekali lagi," tuturnya.




www.myartis.com / Sumber: Deja Moss



www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: