18 November 2018

6 TAHUN TUNGGU RESTU - RISTEENA PILIH 2020 KALAU BERJODOH


"Apabila mama, Che Bunga Salleh membuka mulut mengenai jodoh dan memberikan restunya, baru saya bersedia untuk berterus terang.





"Sudah enam tahun saya dan Ikhwan bercinta, namun saya tidak berani memperkenalkan dia kepada keluarga. Sudah lama Ikhwan mahu bertemu ibu dan bapa saya, cuma saya belum bersedia. Bagi saya, restu keluarga penting.

"Saya menanti masa yang tepat dan syukur apabila mama akhirnya membuka mulut mahu bertemunya," kata pelakon Nur Risteena Munim yang bukan sengaja merahsiakan percintaannya dengan Ikhwan Khairuddin namun terpaksa mengunci mulut demi menjaga hati kedua-dua orang tuanya.

Baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-28, Risteena berkata dia terpaksa menyimpan kisah peribadinya kerana bimbang segala perancangan tidak menjadi kenyataan, selain menunggu lampu hijau keluarga.

Klik untuk gambar besar


Pelakon yang menempa nama menerusi drama 'Menjinak Ombak' dan 'Playboy Itu Suami Aku' berkenalan dengan Ikhwan ketika sama-sama membintangi drama, 'Pilihan Rozana' pada 2012.

Ikhwan sebelum ini pernah membintangi drama seperti 'Maqam', 'Mulanya Di Sini, 'Ampunkan Dosaku' dan 'Gemersik Kalbu', namun melupakan bidang lakonan untuk memulakan perniagaan, beberapa tahun lalu.

Gadis kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu berkata, biarpun keluarganya berharap mereka disatukan tahun depan, dia sebaliknya berhasrat menamatkan zaman gadisnya pada 2020.



"Seandainya ada jodoh, saya memilih untuk disatukan pada 20 Februari 2020. Memang sejak dulu saya merancang untuk disatukan pada tarikh itu.

"Mungkin juga kerana itu jodoh saya lambat tiba. Alhamdulillah, Ikhwan sabar dan setia, malah menerima baik serta buruk saya.

"Walaupun mama pada awalnya seperti tidak merestui hubungan kami, Ikhwan tetap sabar menunggu. Sebak pula mengenangkan pengorbanannya untuk memenuhi kehendak dan menggembirakan saya," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: