10 November 2018

"BERLAKON BAYAR 'SEDIH', BONUS 'SEDIH' JUGA" - DALIMAWATI


Jika sebelum ini penyanyi Datuk Awie Wing meluahkan rasa kecewanya berhubung duit bonus filem 'Hantu Kak Limah' (HKL) yang diterimanya yang dikatakan 'ciput', kini pelakon Dalimawati yang melakonkan watak hantu Kak Limah dalam filem tersebut turut meluahkan hal sama.





"Dah la berlakon dibayar 'sedih', jadi saya harap bayaran wang bonus akan tinggi. Tetapi 'sedih' juga," katanya yang mengakui terkejut dengan wang bonus diterima kerana ia tidak setimpal dengan kutipan keseluruhan HKL iaitu RM38 juta.

Malah, Dalimawati atau nama sebenarnya Dalimawati Ismail itu tidak menyalahkan Andy Lau selaku pengasas bersama syarikat Infinitus Entertainment Group iaitu syarikat penerbitan HKL, sebaliknya ia tanggungjawab individu yang menguruskan syarikat itu di sini.

"Macam Datuk Awie kata, bayaran memang 'ciput'. Tidak jangka dapat sebanyak itu, tetapi nak buat macam mana. Sepatutnya, mereka kena faham dan ambil kira usaha setiap pelakon dan kru terbabit. Kami kerja bagai nak 'gila'. Dari pagi sampai keesokan harinya.

Klik untuk gambar besar


"Saya tak salahkan Andy Lau sebab dia tak tahu apa-apa. Yang salah adalah orang yang jaga syarikat itu di sini. Mereka yang tetapkan bayaran pelakon dan tentukan wang bonus.

"Bagi saya, yang nak jatuhkan kita adalah orang kita juga. Tak luak pun nak kongsi lebih kepada setiap orang terbabit jika nak dibandingkan dengan kutipan puluhan juta diraih HKL," ujarnya.

Dalimawati yang popular menerusi filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' mengakui tidak mahu lagi berlakon dalam filem HKL jika ia diterbitkan oleh penerbit sama.

"Saya macam Awie juga, tak nak berlakon kalau penerbit sama. Kalau nak cari watak hantu Kak Limah lain, carilah. Bagi saya cukuplah apa yang dibuat pada kami," tuturnya.



Semalam, pelakon utama filem ini, Datuk Awie meluahkan rasa terkilan dengan wang bonus diterima meski filem itu meraih kutipan RM38 juta.

Awie, 50, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, jumlah itu tidak setimpal dengan usaha pelakon dan sumbangan pekerja belakang tabir filem itu.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-Lin Pillai ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi bersama pihak Astro Shaw.

"Maaf lambat balas. Nanti Astro Shaw dengan Infinitus akan keluarkan komen. Apa-apa saya akan maklumkan," jelasnya menerusi kiriman aplikasi Whatsapp.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Dalimawati


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: