30 November 2018
HIJJAZ: "UNIC TIADA HAK, SESIAPA BOLEH" - FITRI HARIS ENGGAN KOMEN
"UNIC tak ada hak nak larang mana-mana bekas anggota kumpulan menyanyikan lagu kumpulan itu. Dari segi undang-undang, tak ada siapa yang boleh halang. Tindakan Fitri atau Hafiz menyanyikan lagu UNIC tidak salah. Lagu adalah umum dan sesiapa saja boleh menyanyikannya.
"Bagi saya, isu sebegini tak perlu timbul. Secara peribadi, saya tak ada masalah pun. Mungkin ada masalah dalaman membabitkan mereka hingga tercetusnya isu ini," kata komposer Munif yang tampil bersuara.
Beliau bersuara berhubung tindakan anggota UNIC yang didakwa melarang bekas anggota kumpulan itu Fitri Haris menyanyikan lagu mereka.
Menurut Munif yang juga komposer lagu 'Ainul Mardiah' itu, tindakan UNIC adalah tidak wajar kerana hak cipta milik Hijjaz Records. Kata Munif, sesiapa sahaja boleh menyanyikan lagu kumpulan itu sama ada bekas anggota atau penyanyi lain.
Dalam masa sama, Isman yang juga komposer lagu 'Hanya Tuhan Yang Tahu' berpendapat UNIC tidak layak bertindak sedemikian.
Klik untuk gambar besar
"Apa hak mereka nak halang Fitri nyanyi lagu UNIC? Fitri pun bekas anggota kumpulan itu. Lagi pula, ketika bersama UNIC, Fitri yang lebih dapat perhatian bukan saja daripada segi personaliti tetapi juga vokal.
"Sekarang dalam UNIC anggota asal yang tinggal adalah Bazli. Jadi, kenapa dua anggota lain nak sibuk? Apa hak mereka? Sepatutnya, Hijjaz Records yang berhak nak halang bukan mereka. Ini kerana kebanyakan lagu UNIC adalah hasil ciptaan kami," ujarnya.
Menurut Isman lagi, UNIC sepatutnya berterima kasih kepada bekas anggota lain kerana masih sudi menyanyikan lagu kumpulan itu.
"Saya suka cara Fitri datang berjumpa dan minta izin ketika nak merakamkan semula lagu 'Hanya Tuhan Yang Tahu' dalam versi solo. Bagi saya, ia bagus. Begitu juga dengan Hafiz yang mana akan minta izin setiap kali nak menyanyikan lagu ciptaan kami. Sepatutnya, UNIC kena berterima kasih dan bukannya halang," tuturnya.
Sementara itu, bekas bekas anggota kumpulan UNIC, Fitri Haris, 33, berkata yang dia perlu mendapatkan nasihat daripada pihak pengurusan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan kepada umum.
"Saya masih dalam keadaan terkejut. Buat masa ini, saya tidak mahu komen apa-apa berhubung isu berkenaan. Sekarang, saya berada di tempat yang pengurus sendiri pun tidak tahu nak buat macam mana?
"Saya juga mengelak daripada membuka media sosial kerana tidak mahu membaca komen netizen," kata Fitri yang akan mengeluarkan kenyataan berkaitan kemelut membabitkan anggota kumpulan nasyid itu dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, pengurus kepada Fitri Haris memberitahu tidak jelas mengapa penyanyi tersebut dilihat tidak menghormati bekas kumpulannya, UNIC.
Pengurusnya yang dikenali sebagai El berkata mereka sebelum ini berjumpa hanya membincangkan identiti tetapi tidak menyentuh mengenai lagu-lagu UNIC.
El memberitahu, Fitri terpaksa membatalkan segala projek berkaitan UNIC demi menghormati kumpulan nasyid tersebut.
"Bahkan projek berkaitan UNIC sekali pun terpaksa dibatalkan demi kerana menghormati dan untuk mencari identiti sendiri sehingga beliau terpaksa pakai kain pelikat untuk menampilkan identitinya.
"Andai Fitri tidak menghormati UNIC, di bahagian mana? Malah Fitri juga tidak menumpang populariti sebagaimana yang didakwa," tegas El.
www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment