26 November 2018

ISU KONTROVERSI FORTEEN - IZZUE ISLAM NAFI GIMIK


"Kalau benar seperti yang disebutkan (gimik single baharu yang ada kaitan dengan kemelut dalam kumpulan), pastinya lagu berkenaan sudah diperdengarkan.





"Kalau benar kami sengaja mencetuskan gimik, lebih baik kami rebut peluang memperdengarkan lagu berkenaan ketika isu masih 'panas'," demikian kata pelakon dan penyanyi Izzue Islam.

Suami kepada Awin Nurin itu menafikan kontroversi perselisihan faham dengan rakan lain dalam Forteen adalah gimik pelancaran single baharu kumpulan itu.

Izzue berkata, dia dan anggota Forteen tidak tergamak sengaja mencetuskan isu semata-mata mahu memperkenalkan lagu baharu.

Baru-baru ini, Forteen mencetuskan kontroversi apabila Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 28, mengumumkan membawa haluan sendiri dan meninggalkan band berkenaan.

Klik untuk gambar besar


Namun, Izzue dan tiga ahli Forteen iaitu Wan, Amer dan Ariz mengumumkan sudah menyelesaikan masalah dihadapi selepas bertemu dalam sebuah majlis, minggu lalu.

Biarpun persahabatan mereka kembali jernih, Izzue yang semakin aktif menjadi pengacara, tidak berganjak dengan keputusannya bergerak solo.

Izzue berkata, proses rakaman single baharu kumpulan itu disempurnakan dua bulan lalu sebelum mereka terbabit dalam musim kelima program realiti, Gegar Vaganza musim kelima (GV5).

"Namun, single itu masih disimpan kerana belum siap sepenuhnya. Kita juga belum ada tarikh pelancaran untuk lagu baharu itu.



"Sebelum ini, kami sepakat menunggu GV5 selesai. Tetapi apabila berlaku kemelut dalaman, semua urusan berkenaan single terhenti begitu saja," jelasnya.

Ditanya nasib single baharu itu, Izzue berkata, Forteen lebih berhak menentukan hala tuju lagu terbabit.

"Syukur semuanya sudah diluahkan dari hati ke hati. Selepas perjumpaan itu, kami berkumpul lagi di tempat lain pada hari sama.

"Saya harap persahabatan kami terus terjalin. Biar saya sudah bergerak sendiri, mereka tetap sahabat yang pernah merasai jatuh bangun bersama saya.

"Soal single yang belum ada judulnya itu, saya serahkan saja kepada mereka untuk memperincikannya bersama komposer dan penulis lirik," tuturnya.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: