19 November 2018

"KEPUTUSAN IZZUE KELUAR FORTEEN BUAT KAMI TERKEJUT" - ARIZ LUFIAS


"Kami sangat terkejut dan ini bukan gimik. Memang ada sedikit insiden berlaku antara kami, tetapi untuk dia buat keputusan (keluar dari Forteen) tanpa berbincang adalah sesuatu yang mengejutkan.





"Lumrah sesebuah kumpulan muzik akan ada masalah dan salah faham. Cuma, sebelum ini, kalau ada apa-apa masalah, kami akan berbincang.

"Ini kerana kami sudah tujuh tahun bersama dan sudah macam adik-beradik," kata salah seorang anggota Forteen, Ariz Lufias, 29, yang mengaku timbul salah faham berhubung perkara itu dan memberitahu, keputusan Izzue Islam kurang bijak malah dibuat terburu-buru tanpa berfikir panjang atau berbincang dengan ahli yang lain.

Keputusan pelakon dan penyanyi itu menarik diri daripada Forteen bukan saja mengejutkan peminat, malah menimbulkan persoalan kepada anggota kumpulan itu.

Tanpa menyatakan alasan kukuh, Izzue menganggap dirinya tidak lagi sesuai berada dalam Forteen berikutan prestasinya kurang memuaskan.

Klik untuk gambar besar


Ariz berkata, anggota kumpulan itu digabungkan pada sesi uji bakat dan cukup mengenali antara satu sama lain.

"Kalau ada masalah, kami berbincang dan apabila timbul masalah kecil macam ini, ia cukup mengejutkan kami. Kami pernah tanya Izzue ketika bertarung dalam GV5, kalau ada masalah bagi tahu dan kita boleh berbincang.

"Setiap kali nampak dia lain macam, kami akan bertanya dan ajak berbincang. Kami sudah rancang macam-macam projek selepas GV5, tiba-tiba jadi macam ini," ujarnya,

Akan bersemuka dengan vokalis itu, Ariz bagaimanapun berkata, dia dan teman-teman mahu memberi masa kepada Izzue untuk bersendirian dan bertenang. Tambah Ariz, Forteen bagaimanapun akan bergerak secara bertiga membabitkan dirinya, One dan Ameer.



"Kami akan bergerak bertiga... Sebelum ini, kami memang bertiga dan tak mustahil akan tambah ahli di masa depan. Semua peserta GV5 jika diikutkan tertekan dengan komitmen dan tugasan mingguan... Semua orang rasa. Malah, ketika kami terkeluar daripada GV, Forteen mendapat komen positif semua orang.

"Kalau Izzue anggap dirinya sudah tak ada fungsi dalam Forteen, mana mungkin dia mampu berada bersama kami selama tujuh tahun," tuturnya yang turut berkata Izzue adalah vokalis utama kumpulan dan bakatnya sangat diperlukan.

Untuk makluman, kumpulan Forteen ditubuhkan pada tahun 2011 dan dianggotai oleh Izzue, One, Ameer dan Ariz. Mereka pernah bernaung dibawah KRU Music.

Tentu sekali berita ini membuatkan peminat tegar kumpulan itu sedih tetapi kalau tiada lagi keserasian memang lebih baik untuk ‘angkat kaki’ agar tiada masalah yang lebih besar timbul di masa hadapan.








www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Astro Awani


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: