19 November 2018

TAKUT RISIKO 'LUMPUH' - ZAMANI TANGGUH JALANI PEMBEDAHAN


Pemenang tempat ketiga musim kelima Gegar Vaganza (GV5), penyanyi Zamani mendedahkan dia sudah bertahun-tahun menanggung sakit akibat tulang belakangnya membengkok dan perlu dibedah segera.





Namun begitu, Zamani memberitahu dia menangguhkan menjalani pembedahan yang disarankan doktor kerana bimbang kemungkinan hidup atas kerusi roda.

"Sudah lama saya menderita sakit tulang belakang iaitu sejak mengikuti program pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih).

"Sekarang saya hanya bergantung kepada ubat tahan sakit... Ini kerana saya belum ada masa untuk menjalani pembedahan.

"Doktor sarankan saya dibedah tetapi risiko selepas itu membuatkan saya takut. Ini kerana doktor beritahu peratusan untuk saya berkerusi roda selepas dibedah sangat tinggi," katanya.

Klik untuk gambar besar


Zamani, 47, berkata, teman-teman termasuk rakan artis seperti Datuk Jamal Abdillah sering menasihatkan dirinya mendapat rawatan sepenuhnya.

"Abang Jamal pernah bercadang membawa saya menjalani rawatan akupuntur. Tetapi saya sibuk dengan persembahan dan komitmen dengan GV5. Tetapi sekarang, saya fikir apabila sudah sampai ke tahap mengganggu kerja, saya kena buat rawatan," jelasnya.

Kata bekas vokalis kumpulan Slam itu, duit kemenangan GV5 akan dimanfaatkan untuk menjalani rawatan sakit tulang belakang.

"Insya-Allah dengan duit kemenangan ini, saya akan buat rawatan. Saya diberitahu tulang belakang saya yang sudah membengkok seperti huruf 'S'," tuturnya ketika ditemui selepas berakhirnya GV5 di sini, malam semalam.



Di pentas akhir itu, Zamani meraih tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 serta trofi GV5.

Dalam perkembangan lain, mengulas kisah dirinya sudah memiliki teman istimewa, Zamani memberitahu, dia masih memerlukan masa untuk mengenali hati budi gadis terbabit.

"Kalau boleh saya nak kahwin, tetapi buat masa sekarang, saya belum terfikir untuk membawa hubungan ini ke fasa seterusnya. Ini kerana kami masih dalam proses berkawan.

"Belum masanya untuk saya hebahkan mengenai perhubungan ini. Apabila sudah sampai masanya untuk kami serius bercinta, saya akan bagi tahu," ujarnya.

Sudah lima tahun mengenali teman istimewanya itu, Zamani berkata, pintu hatinya terbuka untuk lebih rapat dengan wanita terbabit kerana sikapnya yang menyenangkan, memahami dan banyak membantu dirinya.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: