05 November 2018

MARUAH & TANGGUNGAJAWAB - ZAMANI NAFI 'BERDRAMA' HILANG SUARA


"Saya memang sakit, suara saya memang tak boleh keluar langsung. Saya tak perlu ulas panjang lebar mengenai tuduhan berdrama kerana saya memang sakit.





"Mahu percaya atau tidak, saya sendiri tak mampu nak komen," demikian kata penyanyi Zaamani yang menafikan tuduhan negatif sesetengah pihak yang mendakwanya berdrama kehilangan suara.

Keadaan kesihatan bintang Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu menjadi bualan ramai pihak apabila penyanyi itu gagal mendendangkaan lagu 'Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta' di konsert GV5 minggu lalu.

Tambah Zamani, dia turut berterima kasih kepada pihak Astro kerana memberikannya peluang untuk muncul di atas pentas pada minggu lepas biarpun kehilangan suara.

"Terima kasih kepada pihak produksi. Pada mulanya, saya enggan berada di pentas kerana tak mahu memalukan diri kerana saya memang tak boleh menyanyi disebabkan kehilangan suara.

Klik untuk gambar besar


"Namun, melihatkan kepada semangat peminat yang tidak pernah penat menyokong, saya lupakan kesakitan yang dirasai dan mencuba untuk menyanyi.

"Apabila saya mendapat imuniti daripada Datuk Seri Aliff Syukri selaku penaja, saya rasa terharu. Ia satu petanda dia ikhlas menghargai bakat saya dan menjadi satu tanggungjawab untuk saya bangkit demi peminat setelah diberikan peluang.

"Saya masih mendapatkan rawatan dan beransur pulih. Menurut doktor, tiada sebarang kecederaan di peti suara saya tetapi ada sedikit tanda kemerahan.

"Doktor sendiri tak tahu punca mengapa saya hilang suara tetapi saya akan tetap meneruskan rawatan untuk kembali sembuh seperti sediakala," tuturnya lagi.



Konsert GV5 minggu ke-5 lalu memberikan kesan yang amat mendalam buat penonton GV5 saat penyanyi vokalis kumpulan Slam itu hanya mampu diam dan terkaku kerana gagal melontarkan suaranya.

Macam-macam juga isu yang timbul termasuklah ada pihak mempersoalkan mengapa Zamani tidak mahu tarik diri sedangkan peti suaranya sudah koyak?

Ego lelaki mana tidak tercabar apabila dihimpit dengan pelbagai kata-kata serta kritikan orang ramai, tetapi Zamani tetap meneruskan perjuangannya di GV5 atas rasa tanggungjawab.

"Jika saya fikirkan tentang maruah seorang penyanyi memang rasa nak tarik diri tapi saya tolak ketepi ego. Saya fikir tentang tanggungjawab yang saya galas dalam pertandingan ini.



"Saya faham ia sesuatu yang memalukan bila tidak dapat menyanyi dalam satu pertandingan dan ia sangat mengecewakan peminat. Tapi bila fikir balik tindakan saya itu betul," jelasnya.

Zamani akui, beliau merasa sangat kecewa atas kegagalannya untuk menyanyi lagu 'Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta' itu dengan baik. Ibarat beliau sudah menghampakan peminatnya yang sering menyokong beliau.

"Saya kecewa, saya bukan seorang yang senang nak menangis terutamanya di atas pentas, tapi malam itu saya sangat sebak dan kecewa. Peminat terlalu berharap untuk saya menyanyi dan saya sendiri tidak tahu kenapa suara saya hilang tiba-tiba," katanya.

Memang ramai yang meminta Zamani untuk tarik diri sebelum ini termasuklah juga penyanyi Datuk Jamal Abdillah. Namun, kami cukup menghormati semangat dan rasa tanggungjawab yang ada dalam diri beliau untuk tetap beraksi di pentas GV5. Tidak semua orang sekuat beliau lebih-lebih lagi selepas menerima pelbagai kritikan.




www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak, mStar & Instagram Zamani


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: