28 November 2018

PUTERI BALQIS NAFI DIRINYA TERLANTAR & NAZAK


"Selama ini saya cuma jadi pemerhati dan boneka untuk manusia yang pentingkan diri sendiri. Sepanjang saya sakit, mummy (mak) yang jaga saya seorang. Susah senang saya cuma berdua dengan mummy.





"Sementara mummy ada mak iaitu nenek saya dan beberapa orang sahabat yang betul-betul dia percaya untuk bersama. Saya tak terlantar. Saya boleh berjalan cuma cepat penat. Kadang-kadang apabila orang datang melawat saya tidur sebab baru makan ubat.

"Bukannya nazak. Sebaik-baiknya jangan dengar cakap orang tetapi tanya saya sendiri," jelas pelakon kanak-kanak, Puteri Balqis yang menafikan dirinya terlantar dan nazak seperti yang tular di media sosial.

Balqis, 11, atau nama sebenarnya Puteri Balqis Azizi berkata, buat masa sekarang, dia perlu menjalani rawatan dua minggu sekali. Menurutnya, dia sudah besar dan tiba masa, untuknya bersuara.

Klik untuk gambar besar


"Mengenai kesihatan saya, masih lagi batuk dan keluar darah. Jadi, saya perlu buat rawatan dua minggu sekali termasuk rawatan accupressure sebulan sekali. Mummy juga nak bawa saya berubat kampung pula," katanya.

Terdahulu video sekumpulan individu yang mewakili sebuah produk kesihatan datang menziarahi Balqis di rumahnya tular sejak semalam.

Kumpulan yang bertujuan menyerahkan sumbangan mereka turut memaparkan keadaan kanak-kanak itu yang sedang terbaring dalam keadaan tidak bermaya.

Ditanya mengenai penyakit dihidapi, Balqis yang juga pelakon 'Akulah Balqis' enggan mengulas lanjut. Apatah lagi, pada Julai lalu, Balqis memuatnaik gambar berserta hashtag #fightcancer mengejutkan ramai pihak.



"Maaf, saya tak nak cakap lagi mengenainya. Apa yang penting doakan kesihatan saya," katanya ringkas.

Menurut Balqis yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Televisyen Asia 2014, dia akan berlakon semula tahun depan.

"Insya-Allah tahun depan saya akan mulakan penggambaran filem. Tolak tepi soal sakit dan apa saja cakap-cakap orang.

"Apa yang penting, sebagai anak saya boleh berfikir mengenai tanggungjawab yang mana anak bukan untuk menyusahkan mummy. Tetapi membantu dan membuatkannya gembira selagi bernyawa," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: