01 November 2018

SAKIT BELUM SEMBUH - ZAMANI DISUNTIK, TETAP BUAT PERSEMBAHAN


"Alhamdulillah, keadaan Zamani kini beransur pulih tapi belum sembuh sepenuhnya. Dia boleh bercakap tapi masih belum boleh menyanyi. Sejak semalam (Rabu), Zamani membuat pemeriksaan doktor dan menerima suntikan untuk merawat suaranya.





"Rawatan dan suntikan itu juga akan dilakukan sehingga suaranya kembali pulih," kata pengurus kepada penyanyi Zamani, Aalan Ahmad yang mengesahkan artisnya bersedia meneruskan perjuangan dalam konsert minggu keenam, Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang akan berlangsung Ahad ini.

Keadaan Zamani yang mempunyai masalah peti suara koyak belum sembuh sepenuhnya sehingga dia terpaksa menerima suntikan sejak Rabu lalu.

Aalan berkata, penyanyi berusia 47 tahun itu masih tidak boleh menyanyi namun dan harapannya agar suntikan diterima Zamani akan membantu kesihatan dia pulih dan mampu menyampaikan lagu Nidji yang berjudul 'Hapus Aku' pada minggu keenam GV5 nanti.

Dalam GV5 Ahad lalu, Zamani gagal menyanyikan lagu 'Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta' pada minggu kelima konsert kerana peti suaranya koyak.

Klik untuk gambar besar


Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila penaja utama program tersebut, Datuk Seri Aliff Syukri menggunakan imuniti untuk menyelamatkan Zamani daripada penyingkiran.

Dalam pada itu, Aalan memberitahu Zamani membuat keputusan untuk tidak mensia-siakan peluang yang diberikan pihak Astro itu dan tetap akan tampil biarpun kesihatannya belum pulih.

Kata Aalan, keputusan itu dilakukan bukan paksaan mana-mana pihak namun atas kerelaan Zamani yang memikirkan tanggungjawabnya terhadap program tersebut serta sokongan peminat.

"Insya-Allah Zamani akan teruskan juga persembahannya pada minggu ini. Dia tidak mahu sia-siakan peluang yang telah diberikan kepadanya.



"Keputusan untuk teruskan itu juga bukan disebabkan paksaan daripada mana-mana pihak tetapi atas kerelaan dia sendiri.

"Zamani berasa bertanggungjawab dan mahu berikan komitmen kepada program tersebut dan dia lakukannya demi sokongan peminat dan tidak mahu mengecewakan mereka," ujarnya.

Pada 31 Oktober lalu, penyanyi lagu 'Gerimis Mengundang' itu menerusi laman Instagramnya sebelum ini, tampil memohon maaf kerana tidak dapat menyampaikan lagu Ahad lalu.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada peminat, juri tetap, Datuk Ramli MS, Datuk Khatijah Ibrahim serta juri jemputan Datuk AC Mizal dan pengacara GV5 yang memberi sokongan pada malam tersebut.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: