23 November 2018

TAK DUDUKI SPM - ISMAIL IZZANI NAFI BELAKANGKAN PENDIDIKAN


"Ibu dan keluarga menyokong keputusan saya, namun itu bukan bermakna, pelajaran tidak penting untuk masa depan. Sekiranya nanti saya mahu menyambung pengajian, saya akan mengambil ujian khas sebelum memasuki pusat pengajian tinggi.





"Saya tahu ramai yang mengecam apabila tidak menduduki SPM, tetapi saya tahu apa yang dibuat," kata penyanyi Ismail Izzani mengenai keputusannya untuk tidak mengambil peperiksaan yang sedang berlangsung sehingga 13 Disember ini.

Penyanyi lagu 'Demi Kita' itu menegaskan, keputusannya untuk tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan bermaksud dia membelakangkan pendidikan.

Ismail, 18, sebaliknya berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan teliti bersama keluarganya, selain berdepan masalah tonsil yang dihidapinya sejak tahun lalu.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, Ismail turut memaklumkan, masalah tonsil yang dihadapinya juga semakin serius apabila hampir setiap bulan dia jatuh sakit hingga mengganggu jadual seninya.

"Saya tidak boleh bertangguh lagi, mahu atau tidak saya perlu menjalani pembedahan awal tahun depan. Memang saya takut risiko pembedahan itu mungkin memberi kesan kepada suara.

"Selepas dibedah, saya perlu berehat seketika untuk memastikan diri benar-benar sembuh. Saya berdoa semua urusan itu dipermudahkan nanti," tuturnya.



Mengulas mengenai dirinya yang sering dihimpit kontroversi, Ismail berkata, dia kini semakin berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk kerana tidak mahu berterusan dikecam netizen.

"Masyarakat kita begitu mudah mengecam dan menjatuhkan hukuman tanpa terlebih dahulu menyelidik perkara sebenar. Saya tahu, saya tidak mampu menutup mulut orang lain, namun apa yang berlaku membuatkan saya lebih berhati-hati.

"Selepas ini, apa juga yang saya lakukan, saya akan tapis dahulu sebelum berkongsi. Risau pula mengundang kecaman netizen lagi walaupun saya sekadar bergurau," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: