23 November 2018

TIADA 'HENS PARTY' - ATIKAH SUHAIME MENGAJI BERSAMA KELUARGA


Tidak seperti selebriti yang lain yang kebiasaannya mengadakan 'parti bujang', pelakon Atikah Suhaime sebaliknya memilih bersama keluarga menganjurkan majlis bacaan al-Quran menjelang hari pernikahannya pada 17 Mac depan.





Atikah, 27, berkata, majlis itu akan diadakan seminggu sebelum hari bersejarahnya kerana ia sudah menjadi tradisi keluarga besarnya di Singapura.

"Tiada 'hens party' kerana saya tidak punya ramai kawan rapat. Kebiasaannya, menjelang tarikh pernikahan dan resepsi, keluarga akan menganjurkan majlis membaca al- Quran. Pada acara itu, bakal pengantin akan bergilir mengaji bersama ahli keluarga yang lain.

"Ia membabitkan ahli keluarga terdekat, disusuli perbincangan mengenai perincian hari pernikahan dan resepsi," kata pelakon 'Cinta Tiada Ganti' itu.

Atikah dan tunangnya yang juga penyanyi, Awi Rafael mengundang kira-kira 1,000 tetamu untuk majlis persandingan yang diadakan di Ang Mo Kio Avenue, Singapura.

Klik untuk gambar besar


Katanya lagi, mereka sepakat mengadakan majlis serentak untuk memudahkan tetamu dan mendekatkan lagi silaturahim keluarga antara kedua-dua belah pihak.

Bakal melalui tiga acara pada hari bersejarah itu, Atikah memaklumkan, ia dimulai dengan upacara pernikahan, disusuli persandingan mengikut adat Jawa. Pada sebelah malam pula, mereka akan sekali lagi bersanding berkonsepkan moden.

"Sebenarnya saya inginkan majlis yang ringkas, tetapi keluarga meminta kami supaya mengikut adat turun-temurun. Jadi, kami turuti saja kemahuan orang tua.

"Kebanyakan atur cara ditentukan hasil perbincangan dengan keluarga, namun masih mengikut bajet kerana kami tidak mahu membazir," jelasnya.



Pasangan yang mula berkenalan sejak lapan tahun lalu itu memilih Bali, Indonesia sebagai destinasi bulan madu seterusnya ke Australia atau Eropah sebelum penghujung 2019.

Sementara itu, ditanya kebimbangan menjelang tarikh disatukan, Atikah memaklumkan, dia gusar jika tidak ramai yang menghadiri majlis perkahwinannya.

Ini kerana katanya, dia jarang berpeluang memenuhi undangan ke majlis perkahwinan disebabkan sibuk dengan jadual kerja. Katanya, faktor logistik dan terikat dengan tugasan selepas mencari rezeki di negara ini menyukarkannya untuk menghadiri majlis di kota Singa.

"Emak kerap berpesan supaya rajin menghadiri majlis perkahwinan kawan-kawan. Saya selalu rasa bersalah kerana tidak berpeluang menghadirinya kerana terikat dengan kerja. Apabila majlis pernikahan saya semakin dekat, saya mula risau jika nanti saudara-mara dan jemputan tidak datang," ujarnya.








www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: