11 December 2018
BERDUET DENGAN TAJUL - WANY RASA TAK RELEVAN, SUDAH BERBINCANG
"Sebenarnya sudah ramai pun yang menyuarakan pendapat ini yang berasakan gandingan duet saya dan Tajul harus diberhentikan seketika.
"Secara jujur daripada saya sendiri pun dan jauh dari lubuk hati paling dalam ini juga berasakan perkara sama (sudah tidak relevan duet dengan Tajul).
"Namun, apakan daya saya mahu pun Tajul kerana semua perancangan ini sudah ditetapkan syarikat rakaman dan kami harus akur mengikutnya.
"Pun begitu, saya memang ada berbincang dengan pihak syarikat rakaman berhubung perkara ini dan semoga keputusan positif dicapai," kata Bintang Paling Popular, Wany Hasrita, 26, yang mengakui gandingan duetnya bersama penyanyi Tajul sudah tidak relevan buat masa sekarang.
Menurut penyanyi lagu 'Menahan Rindu' ini dia sebenarnya sudah menyedari perkara itu dan sudah pernah membincangkannya.
Klik untuk gambar besar
Pemilik nama penuhnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata dia menyambut baik segala teguran dan pendapat berhubung perjalanan karier seninya.
Wany berkata berkemungkinan juga single 'Aku Serius' menjadi gandingan terakhirnya bersama Tajul untuk mereka berehat sementara waktu.
"Ada baiknya juga gandingan saya bersama Tajul ‘direhatkan’ untuk kami masing-masing mengasah lagi bakat nyanyian dimiliki.
"Malah, mana tahu kami digandingkan menyanyi duet dengan pasangan baru yang lebih serasi dan dapat memantapkan karier nyanyian ini," ujarnya.
Kata Wany lagi, dia tidak boleh terlalu lantang bersuara meluahkan pendapatnya kerana sedar masih terikat kontrak dengan syarikat rakaman, FMC.
Terdahulu, pada Ahad lalu menerusi ruangan Cik Pang dalam Selebriti Metro Ahad ada berkongsi teguran mengenai gandingan duet Wany dan Tajul yang dianggap sudah tidak serasi.
Ini kerana persembahan mereka ketika menyanyikan lagu 'Aku Seriu's sewaktu menjadi penyanyi undangan program Mentor 7 dilihat kurang menyerlah.
Justeru, pandangan diberikan supaya syarikat rakaman mengkaji semula gandingan Wany dan Tajul supaya bakat mereka tidak terus dipersiakan.
Setakat ini, Wany dan Tajul sudah menghasilkan tiga lagu duet iaitu 'Di Sana Cinta Di Sini Rindu', 'Rindu Dalam Benci' dan terbaru, 'Aku Serius'.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment