31 December 2018

DON BAKAL SAMAN FITNAH - LINDA RAFAR DAKWA DIMANIPULASI


Penyanyi Linda Rafar bakal disaman oleh badan bukan kerajaan (NGO) Delegation of Nurses (DON), gara-gara kes viral beliau mendakwa jururawat di hospital bersikap biadap dan tidak mengendahkan permintaannya untuk menukar cadar katil ibunya.





Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, pihak mereka kini sedang mengumpul dana untuk proses mengambil tindakan undang-undang terhadap Linda demi menegakkan keadilan bagi jururawat.

"Berikutan dari kes viral yang disebarkan oleh seorang artis tempatan terhadap jururawat, terdapat jururawat yang kami dapati telah difitnah oleh artis tersebut tanpa sebarang bukti kukuh.

"Kami telahpun berhubung dengan mangsa fitnah dan bersetuju untuk membantu beliau membersihkan namanya. Jururawat terbabit juga sudah membuat laporan polis dan segala bukti telah di simpan.

"Artis berkenaan telah menuduh jururawat tersebut mengugut beliau dan memuatnaik gambar tertuduh (Jururawat) di akaun Instagramnya sedangkan tiada ugutan dibuat. Mangsa (jururawat) telah menerima kecaman dan ugutan selepas di viralkan tanpa bukti oleh artis berkenaan.



"Maka kami, Delegasi Jururawat Malaysia (DON) mewakili mangsa yang diviralkan dan difitnah oleh artis tersebut ingin memulakan kutipan dana bagi tujuan kos tuntutan undang-undang supaya insiden fitnah seperti ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.

"Pihak peguam kami telah bersetuju untuk membuka fail saman terhadap individu tersebut bagi pihak si mangsa fitnah," tulis wakil kesatuan itu di Facebook mereka meminta orang ramai untuk menyumbang.

Dalam pada itu, Linda berkata kenyataan beliau sebelum ini dimanipulasi sehingga menimbulkan salah faham.

"Sekarang saya seorang dihina dan dikutuk oleh persatuan jururawat seluruh Malaysia. Saya tidak menyatakan semua jururawat. Mereka memanipulasikan kenyataan saya.



"Ramai lagi rakyat yang teraniaya. Mereka tiada peluang untuk bersuara. Allah Maha Adil. Jika bukan di dunia, akhirat menanti kebenaran," jelasnya.

Terdahulu, Linda menerusi Insta Stories di Instagramnya meluahkan rasa bengangnya terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat di hospital di Shah Alam yang enggan membantu menukar cadar ibunya yang terkena najis.

Status itu menjadi viral dan mendapat pelbagai respon daripada netizen dan juga perhatian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Difahamkan pihak hospital sudah mengadakan pertemuan dengan Linda pada hari Jumaat lalu untuk cuba menyelesaikan isu berkenaan.


www.myartis.com / Sumber: Beautifulnara, Rotikaya, Harian Metro & Instagram Delegation Of Nurses


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: