19 December 2018

HATI-HATI PILIH - AMELINA MAHU 'JODOHNYA' SAYANG & TERIMA ANAK-ANAK


"Sebenarnya saya masih ada perasaan trauma untuk berumah tangga. Tu yang buat saya rasa, kalau ada jodoh, ada la. Kalau tak ada, tak mengapa.





"Terus terang apa yang saya cari dalam kehidupan sekarang adalah kebahagian. Rezeki bersama anak-anak. Kalau mereka gembira, barulah saya gembira.

"Saya bukan macam budak muda yang impikan nak anak atau suami. Saya dah pernah ada suami dan ada enam anak pun," kata penyanyi Amelina yang tidak terlalu memikirkan untuk berkahwin semula kerana dia masih mempunyai perasaan trauma.

Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 44, berkata dia kini hanya mencari kebahagian bersama anak-anaknya.

Penyanyi lagu 'Asyik' ini juga memberitahu dia kini lebih berhati-hati memilih pasangan hidup demi anak-anak. Sekiranya Amelina ditemukan jodoh, dia mahu seseorang itu menyayangi dan menerima dirinya serta keluarga dengan seadanya.

Klik untuk gambar besar


"Anak-anak saya tak dapat rasa kasih sayang seorang bapa. Tu yang saya berhati-hati pilih pasangan sebab mereka harapkan kasih sayang bapa.

"Sekiranya saya ditemukan jodoh, saya mahu dia menyayangi dan terima saya serta anak-anak seadanya. Sebab itu, saya akan temukan dengan anak-anak terlebih dahulu. Mereka boleh tahu seseorang itu ikhlas atau tidak," ujarnya.

Untuk makluman, Amelina dan Reduan berkahwin pada 20 Mei 1999 dan sejak mendirikan rumah tangga, penyanyi lagu 'Rindu' itu menghilangkan diri daripada dunia hiburan. Pasangan itu dilaporkan bercerai pada 2014.

Hasil perkahwinan dengan usahawan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur' Athirah, 17, Putera Al' Affiq, 16, Putera Al' Asyraff, 15, Puteri Nur' Asyurah, 13, Putera Al' Arffa, 11 dan Putera Al’ Amzar, 8 tahun.



Mengenai perkembangan terkini, Amelina akan melancarkan lagu dangdut terbaharunya yang masih dirahsiakan tajuk dalam minggu ini.

Menurut Amelina, kisah kehidupan peribadinya dikongsikan menerusi lirik lagu tersebut yang dicipta oleh Kucing Manja.

"Insya-Allah dalam minggu ini saya akan lancarkan lagu terbaharu. Tajuk masih dirahsiakan dan akan diumumkan nanti.

"Lagu ini mengisahkan kehidupan peribadi saya. Ada beberapa lirik lagu ini nampak kegembiraan saya dan perasaan kecewa serta sakit hati yang pernah saya rasakan.

"Kiranya untuk motivasi diri saya juga. Kadang-kadang penderitaan itu sebenarnya anugerah untuk kita rasa gembira selepas itu," katanya.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: