08 December 2018

JODOH DENGAN ARDELL ARYANA - NADZMI ADHWA SEDIA TERIMA


"Saya dan Ardell belum bersedia untuk melangkah ke alam percintaan. Masing-masing tidak bersedia dan rasanya kami lebih selesa bersahabat buat waktu ini. Saya tahu, ramai yang mengatakan kami kelihatan sepadan dan manis jika bersama.





"Andai kata dijodohkan bersama, sudah tentu saya menerimanya. Siapalah saya untuk menolak takdir? Cuma, diakui saya menyayangi dirinya sebagai sahabat," kata pelakon dan penyanyi Nadzmi Adhwa yang mengakui ramai peminat mahu melihat dirinya menaiki pelamin bersama teman baiknya sendiri, Ardell Aryana.

Tidak menolak jika takdir menentukan mereka dijodohkan bersama, Nadzmi, 26, bagaimanapun menegaskan masing-masing belum bersedia untuk melangkah ke fasa berkenaan.

Seperti diketahui ramai peminat, Nadzmi dan Ardell berkawan sejak beberapa tahun lalu dan mereka menjadi lebih akrab apabila aktres terbabit jatuh sakit. Nadzmi mendedahkan tahap kesihatan rakannya itu menerusi Instagramnya, pertengahan tahun ini.

Klik untuk gambr besar


Nadzmi juga kerap memuatnaik video mesra bersama Ardell, membuatkan sebahagian peminat teringin melihat pasangan sahabat itu berkahwin.

Netizen turut menjangkakan kedua-dua pelakon ini akan disatukan sebagai suami isteri selepas menonton video muzik single terbaharu Nadzmi, Wanitaku, yang berkisar pada kisah persahabatan mereka.

Bercerita mengenai single 'Wanitaku' nyanyiannya bersama Ardell, Nadzmi akui terkejut apabila sehingga kini, video yang dimuatnaik pada 23 November lalu sudah pun ditonton lebih 1.3 juta kali. Ia sekali gus menjadi antara video sohor kini di laman YouTube.



"Jujurnya, saya tidak sangka single ini menjadi 'trending'. Maklumlah, saya bukannya artis popular. Begitupun, tentu sahaja sambutan diberikan itu dirasakan berbaloi kerana bukan tugas mudah untuk menyiapkan lagu dan klip video ini.

"Istimewanya, Ardell turut ditampilkan dalam lagu terbabit. Saya sendiri sangat terharu kerana dia sanggup membantu saya walaupun dalam keadaan sakit. Saya pula memang tidak tahu untuk mencari orang lain... Cuma dirinya yang ada dalam fikiran saya.

"Lagu ini, pendek kata, mengisahkan persahabatan kami. Saya dan dirinya saling memerlukan ketika susah serta senang. Alhamdulillah, ia mendapat maklum balas yang sangat baik," tuturnya.

Untuk makluman, 'Wanitaku' ialah karya ciptaan sepenuhnya Aiman Sidek yang disusun semula daripada lagunya sebelum ini, Kamulah Wanita.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: