06 December 2018

PERTAMA KALI BOTAK - AWIE TAK TENGOK CERMIN SEHARI SETENGAH


"Sayalah yang paling terkejut! Ketika proses mencukur kepala, saya pejamkan mata dan berzikir. Saya tak nak tengok! Sebabnya daripada lahir sampai umur 50 tahun saya tak pernah botak!





"Apabila sudah habis, saya angkat plastik dan tutup muka sendiri, saya tak nak tengok cermin. Sehari setengah jugalah saya tak nak tengok muka sendiri dan tak masuk bilik air. Belakang kepala pun rasa ringan je.

"Apabila nak mandi untuk solat Subuh keesokannya barulah saya buka perlahan-lahan. Sekali tengok muka macam bola!" kata penyanyi popular Datuk Awie, 50, yang tampil dengan imej berbeza berkepala botak selepas pulang daripada mengerjakan umrah hujung November lalu.

Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman mendedahkan itu merupakan kali pertama sepanjang hidupnya 50 tahun, dia membotakkan kepala!

Ini juga merupakan pengalaman sulung Awie mengerjakan umrah dan vokalis kumpulan Wings itu berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 18 November lalu bersama-sama rakan motorsikalnya di bawah kelab Wings Moto Gang Society (WMGS).

Klik untuk gambar besar


Cerita Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman lanjut, dia memberitahu khabar tentang perubahan imejnya itu kepada isteri beberapa hari kemudian.

"Hari kedua barulah saya beritahu isteri sebab saya sendiri tak tahu bagaimana nak beritahu. Katanya 'You dah botak!'," tambah Awie lagi.

Awie yang kini tampil botak mengakui, agak janggal menyesuaikan diri dengan imej itu kerana sebelum ini, dia lebih selesa tampil berambut panjang.

"Saya turut berniat untuk membuang segala masalah yang pernah menyebabkan hidup tidak menentu," ujarnya.



Dalam masa sama, Awie menyifatkan, pengalaman menunaikan umrah sebagai hadiah paling bermakna sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

Kata Awie, dia bersyukur semua urusannya di sana dipermudahkan Allah SWT, malah tidak menyangka berpeluang menyambut hari jadi di Tanah Suci.

"Lebih bermakna saya juga berkesempatan menyambut Maulidur Rasul di Tanah Suci. Ia juga menjadi hadiah paling manis sempena ulang tahun kelahiran yang ke-50 pada 24 November lalu.

"Saya bertahalul (bercukur) dan ia betul-betul hadiah besar buat saya. Sudah tentu perasaan saya tersentuh. Lagipun semuanya tak dijangka. Saya tak rancang pun sambut ulang tahun kelahiran di Makkah.



"Saya bukan bersedia pergi pada usia ini. Sebenarnya ada yang umur 70 pun belum sampai kerana tiada panggilan (seru). Perkara ini bukan paksaan. Kalau sekadar pergi tanpa ada perasaan mendalam dari sudut hati, dah lama saya pergi," tuturnya.

Bintang 'Hantu Kak Limah' yang kali pertama ke Tanah Suci itu berkata, dia sengaja tidak menggembar-gemburkan pemergiannya ke sana kerana enggan menimbulkan salah faham peminat.

"Bimbang pula apabila terlalu bercerita saya dikatakan riak, sedangkan niat saya ke sana untuk beribadah. Maklum, selama ini saya sering dikaitkan dengan imej kurang baik. Daripada mendatangkan dosa kepada orang lain, lebih baik saya pergi diam-diam.

"Namun, pengalaman di sana begitu indah. Perasaan sepanjang berada di Makkah dan Madinah sukar untuk digambarkan, malah saya bersyukur berpeluang merasainya," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak, Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: