23 December 2018

SEKIAN LAMA - IFA BAWA KELUARGA BERCUTI DI LONDON, PARIS & DUBAI


Penyanyi Ifa Raziah, 43, memberitahu kali ini dia membawa keluarganya untuk menikmati percutian hujung tahun di London, England selepas kira-kira 20 tahun tidak bercuti ke benua berkenaan.





Dijangka tiba di kota terbabit pada Hari Krismas, Ifa juga akan terbang ke Paris, Perancis dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

"Kali terakhir saya menjejakkan kaki di London dan Paris sekitar 1998. Malah, saya juga pernah tinggal setahun di London. Asalnya kami ingin ke destinasi lain. Namun, kebetulan ada promosi tiket murah, jadi bolehlah kami sekeluarga menikmati percutian musim sejuk di sana.

"Saya dan keluarga akan berada di London hingga sambutan Tahun Baharu 2019. Kemudian, kami terbang ke Paris selama empat hari, diikuti Dubai sebelum kembali ke Malaysia," katanya.

Klik untuk gambar besar


Menurut Ifa yang juga seorang pengacara, pelakon dan usahawan produk kesihatan Solid Molid, sudah agak lama dirinya tidak mengembara jauh untuk bercuti.

"Selalunya, paling jauh pun kami ke Singapura. Manakala empat tahun lalu, saya ke Hong Kong. Anak saya sendiri secara sinis meminta untuk bercuti di tempat yang agak jauh, kali ini.

"Pada masa sama, dapat juga menyambut hari lahir ke-19 puteri saya, Sharifah Umairah, pada 29 Disember ini," tuturnya.



Sementara itu dalam perkembangan lain, Ifa memaklumkan terpaksa menunda perancangan untuk merakamkan lagu ciptaan Ressa Herlambang berikutan kesibukan komposer Indonesia itu.

Katanya, dia sepatutnya sudah pun berada di Jakarta, ketika ini, bagi mengadakan perbincangan berhubung penghasilan lagu baharunya dengan penyanyi dan pencipta terbabit.

"Begitupun, Ressa nampaknya agak sibuk buat waktu ini, jadi perancangan untuk merakamkan lagu ciptaannya ditunda ke tahun depan. Justeru, waktu yang ada ini membolehkan saya membuat perancangan saat akhir untuk bercuti bersama keluarga ke Eropah.

"Selepas pulang daripada percutian nanti, saya akan ke Indonesia semula untuk berbincang dengannya," ujarnya yang sebelum ini mendedahkan perancangannya merakamkan karya ciptaan komposer berkenaan yang terdahulu menghasilkan lagu untuk usahawan kontroversi, Safiey Ilias, berjudul 'Syinta Gila'.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: