12 December 2018
TERUS DIKECAM: "DAH MINTA MAAF, APA PERLU DILAKUKAN" - HAQIEM
Penyanyi Haqiem Rusli, 20, kembali diterjah kontroversi gara-gara memakai cermin mata hitam dan menggunakan airpods ketika menyertai satu program amal, baru-baru ini.
Biarpun sudah mengakui kesilapannya kerana tidak peka, penyanyi lagu 'Tergantung Sepi' dan 'Selamat Tinggal Sayang' itu terus dikecam peminat hingga mengambil pendekatan untuk berehat seketika daripada Twitter.
"Saya tidak tahu lagi apa yang perlu dilakukan kerana saya sudah meminta maaf, tetapi masih juga dikecam. Sukar untuk saya berdepan situasi seperti ini, jadi daripada terus membaca pelbagai komen negatif yang menghentam, lebih baik saya padam sahaja Twitter.
"Saya lebih suka menggunakan aplikasi itu untuk berinteraksi dengan peminat di laman sosial. Namun, selepas apa yang terjadi, ada baiknya saya padamkan sahaja medium komunikasi itu.
"Saya tidak mahu diri terkesan dengan pelbagai kecaman yang ditinggalkan 'haters'. Tidak tahu lagi bagaimana mahu menangani perkara ini. Ia lebih baik kerana sekurang-kurangnya saya dapat menjauhkan diri daripada perkara yang memberikan tekanan," katanya.
Klik untuk gambar besar
Haqiem berkata, tidak hanya peminat, isu itu juga mendapat perhatian artis membuatkan dia terpaksa bersuara untuk mengelak daripada berpanjangan.
"Saya tahu ada rakan artis yang bercakap di belakang, tetapi saya tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu. Saya tidak mahu timbul salah faham dan memburukkan lagi keadaan," ujarnya.
Haqiem berkata, dia banyak belajar daripada apa yang berlaku, malah isu itu juga mematangkan lagi dirinya untuk berdepan perkara di luar jangkaan.
"Alhamdulillah, keluarga banyak membantu, malah sering menemani saya ketika persembahan. Selain peminat, mereka juga banyak mendorong saya untuk menjadi insan lebih baik," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment