20 January 2019

AJAK & SHAHROL SHIRO BERHENTI JADI DJ RADIO


Nampaknya anda tidak akan dapat mendengar celoteh anggota kumpulan lawak Shiro iaitu Ajak dan Shahrol apabila mereka tidak akan berkhidmat lagi sebagai penyampai radio di stesen radio Hot FM dan Suria FM.





Ajak, 33, yang berkhidmat dengan Hot FM sejak tiga tahun lalu akan tamat kontrak dengan stesen radio berkenaan pada penghujung Februari depan, manakala Shahrol, 35, sudah tamat kontrak dengan Suria FM sejak 11 Januari lalu.

Mereka yang baru diumumkan sebagai juara program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2018 malam Jumaat lalu itu mahu memberi tumpuan kepada bidang perniagaan selain lakonan dan komedi.

Ajak berkata, dia memilih untuk tidak menyambung kontrak kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang komedi dan lakonan. Ajak turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Hot FM kerana memahami permintaannya.

"Sepanjang tiga tahun berkhidmat dengan Hot FM, saya memberikan komitmen penuh kepada kerjaya sebagai penyampai radio dan tidak ada sebarang karya dalam bidang lakonan.

Klik untuk gambar besar


"Terima kasih kepada pihak pengurusan Hot FM terutamanya Seelan Paul kerana faham dengan kehendak serta hala tuju karier saya," katanya.

Ajak juga tidak menafikan ada menerima tawaran daripada stesen radio lain, namun tidak mahu berfikir ke arah itu buat masa sekarang.

"Ada beberapa stesen radio lain yang menawarkan saya untuk bekerja dengan mereka, namun itu bukanlah matlamat saya dan bukan punca kenapa saya menamatkan kontrak di Hot FM," ujarnya.

Jelas Ajak, keputusan itu dibuat kerana ingin menumpukan perhatian kepada bidang lakonan sementelah dalam tempoh tiga tahun bergelar penyampai, dia langsung tidak berkesempatan untuk mengambil sebarang tawaran berlakon.



"Jadual kerja di stesen radio sangat padat, malah untuk hari hujung minggu pun kadang-kadang saya perlu mengikuti pelbagai program luar. Boleh dikatakan saya langsung tiada hari cuti.

"Saya akui sangat gembira bekerja di stesen radio tetapi sepanjang tiga tahun ini, ada perkara yang membuatkan saya sedikit kesal kerana tidak pernah berkesempatan menghantar anak-anak ke sekolah memandangkan waktu masuk bekerja adalah awal pagi.

"Jadi apabila tamat kontrak nanti, saya akan ambil masa untuk berehat seketika dan makan dengan lebih banyak sebab sekarang badan agak kurus. Selepas itu saya akan kembali fokus dengan dunia lakonan," tuturnya.

Tidak hanya sibuk sebagai penyampai radio segmen pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat, Ajak juga bertugas sebagai pengacara program Melodi di TV3.



Shahrol pula tidak menyambung kontrak dengan Suria FM kerana mahu fokus dengan syarikat produksi miliknya, Bushido Production yang beroperasi di Johor. Dia juga menganggap langkahnya untuk keluar dari stesen radio itu ada hikmah tersendiri.

"Setiap perjalanan ada hikmah di sebalik kejadian. Saya reda dan terima dengan hati terbuka. Siapa sangka, selepas keputusan untuk tidak menyambung kontrak itu dibuat, kami (Shiro) bergelar juara program MLM2018,” tuturnya.

Ditanya mengenai lakonan, Shahrol terbuka untuk menerima sebarang tawaran yang bersesuaian.

"Sekiranya ada tawaran lakonan yang bersesuaian, saya akan terima. Selain itu, saya juga akan menerbitkan drama sendiri melalui syarikat produksi saya. Buat masa sekarang, kami banyak menerbitkan program-program untuk jabatan kerajaan dan sebagainya," jelasnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Kosmo & Instagram Ajak Shiro & Shahrol Shiro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: