15 January 2019

DIISYTIHAR MUFLIS, HUTANG RM77K - IQRAM DINZLY ENGGAN BERLAKON LAGI


"Saya takkan kembali berlakon. Disebabkan saya menjadi selebriti saya diisytihar bankrap," kata pelakon Iqram Dinzly yang diisytihar muflis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas gagal membayar cukai pendapatan RM77,000.





Iqram berkata demikian ketika ditanya sama ada dia akan kembali berlakon untuk menjana pendapatan bagi membayar hutang itu, namun tegas dengan pendirian tidak sama sekali.

Iqram, 38, atau nama penuhnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin mendedahkan perkara itu di Instagram semalam. Keputusan itu disampaikan peguam LHDN kepada Iqram di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

"Saya sampai lambat, jadi peguam LHDN hanya serahkan keputusan mahkamah. Saya tak tahu nak cakap apa. Mahkamah sudah putuskan, jadi saya kena terima.

"Lagi pula saya memang tak mampu nak bayar dan tak boleh nak buat apa-apa. Cuma sekarang, saya kena cari jalan macam mana nak selamatkan aset yang ada seperti rumah dan kereta. Ini saja yang tinggal.

Klik untuk gambar besar


"Diakui apa yang berlaku atas silap sendiri, tetapi jujur saya katakan selama ini memang tidak tahu prosedur pembayaran. Saya hanya tahu kumpul resit saja," ujarnya.

Iqram berkata, notis pemberitahuan mengenai bayaran cukai pendapatan itu diterima sejak tiga tahun lalu yang pada asalnya berjumlah hampir RM200,000. Jumlah itu dikira sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam bidang lakonan.

"Selepas dapat notis saya terus disenarai hitam. Ketika itu, saya melantik ejen untuk berurusan dengan pihak LHDN. Dapatlah kurangkan hingga RM67,000.

"Namun, saya diperintahkan ke Mahkamah Majistret Ipoh tahun lalu dan diarahkan membayar jumlah itu dalam tempoh tiga bulan.



"Dua minggu lalu, saya pergi ke pejabat LHDN di Jalan Duta bagi berbincang sekali lagi. Hasil perbincangan negatif. Mereka cakap saya tiada inisiatif untuk membayar.

"Disebabkan itu, jumlah meningkat semula kepada RM77,000 dan saya diberi tempoh 10 hari untuk menjelaskannya. Jika gagal, saya diisytihar muflis," tuturnya.

Dalam pada itu, ditanya apa tindakan lanjutnya selepas ini, Iqram berkata, dia sedang dalam proses untuk menjual satu unit kondominium miliknya yang terletak di Damansara.

"Ingin jual aset (kondominium) bukan macam jual pisang goreng. Ia mengambil masa. Saya tidak akan lari atau menyembunyikan diri dari LDHN. Saya akan cuba selesaikan dengan cara yang terbaik.

"Apa yang penting sekarang perasaan ibu saya (Lalitol Akmar Mohamed Shaffie) apa kini saya diuji dengan perkara seperti ini. Apapun, saya yakin dia sentiasa mendoakan kesejahteraan agar saya diberi kekuatan," terangnya.






www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: