10 January 2019

LAN SOLO BERSYUKUR ISTERI SELAMAT BEDAH BISUL


Penyanyi Lan Solo yang dalam debaran menanti detik kemunculan single terbarunya, 'Twist Abang Sayang' itu diuji apabila isterinya, Nur Sheila Hassim perlu menjalani pembedahan, malam semalam.





Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof mengakui, pada mulanya, dia tidak keruan apabila tarikh isterinya dibedah sama dengan hari single terbarunya dilancarkan di YouTube.

"Sebelum ini, lebih seminggu isteri terpaksa menahan sakit kerana masalah bisul di bahagian pahanya hingga demam.

"Melihat keadaannya itu, kami putuskan untuk segera ke hospital dan dinasihatkan doktor supaya menjalani pembedahan.

Klik untuk gambar besar


"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan dia dijangka dibenarkan keluar hospital dalam masa terdekat ini" katanya.

Lan berkata, dia agak kepenatan apabila terpaksa berulang-alik untuk memastikan keselesaan insan disayanginya itu.

"Tidak tergambar perasaan apabila terpaksa melalui dugaan ini. Memang tidak keruan kerana pada masa sama, saya juga berdebar menanti kemunculan single terbaru. Bercampur-baur perasaan, tetapi saya reda," tuturnya.



Mengulas kemunculan single terbarunya, Lan berkata, lagu yang ditulisnya sendiri, manakala lirik oleh Rozi Sangdewi itu terlebih dahulu diperkenalkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Lan yang sebelum ini muncul dengan single, Berpisah Tanpa Rela juga bakal meraikan dua dekad dalam industri muzik menerusi persembahan, Lan Solo Next Level Showcase.

Bakal berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang pada 2 Mac depan, Lan berkata, persembahan itu menjadi penanda aras untuk membawa kerjaya nyanyiannya ke tahap baharu.

Dia dijangka mempersembahkan lagu popular antaranya 'Seragam Hitam', 'Delaila', 'Luahan Hati', 'Resam Pak Belalang', selain dua single solo, 'Berpisah Tanpa Rela' dan 'Twist Abang Sayang'.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Lan Solo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: