04 January 2019

PENDARAHAN OTAK - ANAK MOHON DOAKAN KESEMBUHAN SHARIFAH AMINAH


Anak sulung seniwati terkenal era 60-an, Sharifah Aminah Syed Abdullah iaitu Wan Monaliza memberitahu yang ibunya itu terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak tiga bulan lalu.





Pelakon berusia 74 tahun yang pernah membintangi pelbagai filem antaranya filem 'Jefri Zain' (bergandingan bersama Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin), 'Ceritaku Ceritamu' dan 'Wira Angkasa' ini dikejarkan dan dirawat di pusat perubatan itu selepas mengalami pendarahan otak.

Wan Monaliza, 50-an berkata, ibunya memang mempunyai masalah darah tinggi yang mengakibatkan pembuluh darah pecah.

"Kami reda dengan ketentuan Allah dan akan jaga emak sebaik mungkin. Daripada situ ia merebak menjadi angin ahmar dan doktor buat keputusan buat pembedahan dikepala dan tutup tempat pembuluh darah yang pecah itu.

"Tahap sedar emak masih rendah dan saya tidak berani nak cakap dia akan sembuh. Kalau sembuh pun akan makan masa yang lama. Dia ada menggerakkan kedua-dua belah kaki dan tangan tapi sikit sangat. Ingatannya masih lemah," katanya.

Menurutnya, apabila dipanggil nama, ibunya akan membuka mata. Begitu juga apabila disuruh mengenyitkan mata, kadangkala ibunya akan berbuat demikian.

"Jadi kita tidak tahu samada dia faham arahan atau tidak. Tahap ingatannya sangat rendah. Dia memang dah sedar yang bermaksud dia sudah buka mata dan bernafas tanpa bantuan mesin. Cuma untuk terima arahan itu belum mampu lagi.

"Alhamdulillah penderitaan emak dapat perhatian daripada beberapa persatuan artis di negara kita yang dapat melawat dan menghulurkan sumbangan bantuan. Saya minta agar semua peminat mendoakan kesejahteraan emak saya," jelasnya.

Selain Wan Monaliza, Sharifah Aminah turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Saifullizan yang berusia pertengahan 40-an.

Sementara itu, pelakon Maria Kamal berkata, kejadian berlaku apabila dia meraikan sambutan ulang tahun kelahiran rakan baiknya itu.

"Saya ajak dia keluar makan sempena ulang tahun kelahirannya pada 13 September lalu. Selesai makan dan minum, dia mengadu sakit kepala.

"Rupanya dia sudah dua hari tidak makan ubat. Kami bergegas balik ke rumahnya untuk ambil ubat yang disimpan dalam keretanya tapi malangnya dia pengsan dalam kereta saya.

"Saya mengejarkan dia ke PPUKM dan bacaan darah tingginya ketika itu 220. Doktor memberitahu pembuluh darahnya pecah dan terus buat pembedahan," tuturnya.

Maria, 62, yakin rakan baiknya akan sembuh biarpun terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.

"Dia sudah buka mata, dengar kita panggil dan respon dengan suasana bising. Cuma dia memandang jauh seperti tidak faham apa-apa.

"Dia ibarat bayi baru lahir yang tidak tahu apa-apa yang terjadi disekeliling. Saya baru sahaja melawatnya tapi tiada apa-apa perubahan sangat.

"Kalau nak sembuh pun mungkin berperingkat dan ambil masa. Tidak betul jika ada yang kata dia sedang nazak," ujarnya yang akrab dengan pelakon ini sejak dari zaman muda.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: